Sabtu, 25 March 2023 | 1:52pm
Bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meneruskan kempen untuk pemilihan presiden 2024 walaupun berdepan beberapa pertuduhan jenayah. - Foto AP
Bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meneruskan kempen untuk pemilihan presiden 2024 walaupun berdepan beberapa pertuduhan jenayah. - Foto AP

Trump beri amaran 'kematian dan kemusnahan' jika didakwa

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran mengenai potensi 'kematian dan kemusnahan' jika dia berdepan pertuduhan jenayah.

Dia membuat kenyataan itu beberapa jam selepas pendakwa raya New York menyiasat pembayaran wang kepada pelakon filem lucah, Stormy Daniels, menegaskan mereka tidak sesekali gentar bertindak terhadap Trump.

Catatan di laman media sosial 'Trump's Truth' semalam itu adalah yang terbaru, rentetan serangan lisan terhadap Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, sejak Sabtu lalu apabila Trump tersilap meramalkan dia akan ditangkap dalam tempoh tiga hari.

Trump mendakwa kekalahannya pada 2020 adalah akibat penipuan dan tindakan itu menjadi pencetus kepada serangan berdarah didalangi pengikutnya pada 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol.

Bagaimanapun, serangan itu gagal menghalang Kongres daripada mengesahkan pemilihan Presiden Demokrat, Joe Biden, yang menewaskan Trump dengan lebih tujuh juta undi.

Trump dalam paparan di laman sosial rasminya turut mempertikaikan tindakan menuduh seorang bekas presiden atau presiden AS bagi kesalahan jenayah, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara itu.

"Apakah jenis orang yang boleh mendakwa orang lain, dalam kes ini bekas Presiden AS yang mendapat lebih banyak undi berbanding mana-mana presiden AS dalam sejarah, dan calon utama (setakat ini!) untuk pencalonan Parti Republikan.

"Soal jenayah, semua tahu tiada jenayah yang dilakukan dan turut diketahui bahawa potensi kematian dan kemusnahan dalam pertuduhan palsu sedemikian boleh menyebabkan malapetaka kepada negara kita," katanya.

Trump sebelum ini turut menyuarakan kesediaan untuk bertanding bagi jawatan presiden pada 2024.

Pejabat Bragg, dalam surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kongres parti Republikan Khamis lalu, mencabar bidang kuasa mereka menyiasatnya dan mendakwa Trump 'menyebarkan khabar angin mengatakan dia akan ditahan'.

Kandungan urat itu juga menyifatkan permintaan pengerusi untuk komunikasi, dokumen dan keterangan sebagai satu 'pencabulan yang menyalahi undang-undang dan kedaulatan New York'.

Pelakon dan pengarah filem lucah, Stormy Daniels, atau nama sebenarnya, Stephanie Clifford, berkata dia menerima wang daripada Trump sebagai sogokan supaya 'tutup mulut' mengenai hubungan sulitnya dengan bekas presiden AS itu pada 2006.

Trump sebelum ini menafikan pernah mempunyai hubungan sulit dengan Daniels, dan menyifatkan pembayaran itu sebagai satu 'transaksi peribadi'.

Dia turut bertegas, tidak melakukan jenayah dan menganggap siasatan itu bermotifkan politik dan juri di Mahkamah Manhattan yang menyiasat Trump tidak akan bersidang semula sehingga minggu depan.

Untuk rekod, Trump didakwa memberikan wang sebanyak AS$130,000 (RM585,390), seminggu sebelum pilihan raya 2016, untuk menghalang Daniels mendedahkan mengenai hubungan sulit dengannya beberapa tahun sebelum itu. - REUTERS

Berita Harian X