Sabtu, 25 March 2023 | 11:29am
FILE PHOTO: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng (tengah) keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
FILE PHOTO: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng (tengah) keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Mahkamah arah Roger Ng denda AS$35.1 juta

NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) semalam mengarahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng membayar denda AS$35.1 juta (RM155 juta).

Dia juga dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana bersubahat menggelapkan berbilion dolar dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas hujahnya ditolak.

Di Brooklyn, Hakim Daerah AS, Margo Brodie, menolak hujah Ng bahawa dia tidak memiliki wang lagi selepas terpaksa membayar puluhan juta dolar akibat kesalahan jenayah dilakukannya itu kepada Malaysia.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, turut berkata anak guamnya, warga Malaysia dan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia, sudah hilang sebahagian besar asetnya.

Brodie bagaimanapun berkata, melucuthakan AS$35.1 juta (RM155 juta) itu tidak keterlaluan dari segi Perlembagaan.

Beliau turut berkata, walaupun Ng tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya, dia memainkan peranan dalam salah satu jenayah kewangan terbesar setakat ini dan menyebabkan kemudaratan, terutama keyakinan orang ramai terhadap demokrasi dan kerajaan.

Brodie menjatuhkan hukuman penjara ke atas Ng pada 9 Mac lalu, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas majikannya, Tim Leissner, menggelapkan wang 1MDB dan berdepan tuduhan rasuah.

Untuk rekod, skandal 1MDB berpunca daripada bon kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion) yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Ia dijual dari 2009 hingga 2014. - AFP

Berita Harian X