NEW YORK: Donald Trump dilihat sengaja 'menipu' berhubung penahanannya berhubung siasatan sogokan wang bagi 'menutup mulut' pelakon filem lucah, Stormy Daniels, daripada mendedahkan skandal seksual membabitkan mereka.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah ketidakpastian ketika juri yang mendengar kes itu membuat undian untuk mendakwa Trump, langkah bersejarah yang akan menghangatkan kempen pilihan raya 2024 di mana calon Republikan berusia 76 tahun itu bertanding semula bagi jawatan presiden.
Pejabat Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, membuat kenyataan itu dalam surat yang dihantar kepada tiga penggubal undang-undang Republikan, yang sebelum ini memintanya memberi keterangan di hadapan Kongres mengenai siasatan itu.
Anggota Republikan terbabit, yang kesemuanya adalah pengerusi jawatankuasa Dewan Perwakilan, menuduh Bragg, seorang Demokrat, melancarkan 'pendakwaan bermotif politik' dalam surat mereka pada Isnin lalu.
Ia dihantar selepas Trump, tanpa memberikan sebarang bukti, berkata beliau menjangkakan akan ditahan pada Selasa lalu dan menggesa penyokongnya mengadakan bantahan sekiranya ia berlaku.
Menurut peguam di pejabat Bragg, Leslie Dubeck, penghantaran surat itu adalah suatu tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini, merujuk kepada pendakwaan yang masih berjalan.
"Surat itu hanya datang selepas Donald Trump membuat dakwaan mungkin ditahan mencipta dan difahamkan, peguamnya menggesa anda campur tangan sedangkan tiada asas yang sah untuk siasatan Kongres," katanya.
Catatan Trump di laman maya, Truth Social, mencetuskan spekulasi media dan amaran Demokrat bahawa tindakan Trump itu mungkin menyaksikan berulangnya keganasan yang dicetuskan penyokongnya di bangunan Capitol pada 6 Januari 2021.
Polis New York juga mengadakan sekatan di luar pejabat Bragg, Menara Trump dan Mahkamah Jenayah Manhattan, di mana Trump akhirnya akan hadir di hadapan hakim jika didakwa.
Trump akan menjadi bekas presiden atau presiden pertama yang pernah didakwa dengan jenayah jika barisan juri iaitu panel rakyat yang dipanggil oleh Bragg, memutuskan dia boleh didakwa.
Bragg sedang menyiasat bayaran AS$130,000 (RM574,000) kepada Daniels ketika kempen pilihan raya presiden 2016.
Pembayaran itu didakwa dibuat untuk menghalangnya daripada mendedahkan kepada umum mengenai hubungan mereka.
Sesetengah pemerhati percaya dakwaan itu menjejaskan peluang Trump bagi kempen presiden 2024, manakala ada yang berpendapat ia boleh meningkatkan sokongan. - AFP