Khamis, 23 March 2023 | 8:45am
Austin Lyle, 17, suspek kes tembakan di Sekolah East High di Denver, Colorado di Amerika Syarikat, yang kini diburu polis. - Foto AP
Austin Lyle, 17, suspek kes tembakan di Sekolah East High di Denver, Colorado di Amerika Syarikat, yang kini diburu polis. - Foto AP

Pelajar diburu selepas menembak 2 kakitangan sekolah

LOS ANGELES: Seorang pelajar diburu polis kerana melarikan diri selepas menembak dua kakitangan sekolah di Colorado semalam, dalam kes terbaru keganasan senjata api yang mengejutkan sektor pendidikan di Amerika Syarikat (AS).

Suspek dikenali sebagai Austin Lyle, 17, sedang diperiksa badan bagi mengesan sama ada membawa senjata, apabila secara tiba-tiba mengeluarkan pistol dan mula menembak, kata polis di negeri barat AS itu.

Ketua Polis Denver, Ron Thomas, berkata kira-kira jam 9.50 pagi (waktu tempatan), pihak polis menerima satu panggilan telefon mengenai tembakan di Sekolah Menengah Timur.

"Pegawai polis dan pasukan perubatan tiba di tempat kejadian secepat mungkin dan menemui dua lelaki dewasa yang mengalami luka ditembak.

"Seorang mangsa adalah pentadbir sekolah, kedua-duanya dikejarkan ke hospital, di mana seorang berada dalam keadaan kritikal," katanya.

Ketua Polis Denver, Ron Thomas, bersama Datuk Bandar, Michael Hancock, bertemu dengan ibu bapa pelajar Sekolah East High susulan kes tembakan di sekolah berkenaan. - Foto AP
Ketua Polis Denver, Ron Thomas, bersama Datuk Bandar, Michael Hancock, bertemu dengan ibu bapa pelajar Sekolah East High susulan kes tembakan di sekolah berkenaan. - Foto AP

Thomas berkata, Lyle tertakluk kepada perjanjian di mana dia akan diperiksa badan setiap hari apabila tiba di sekolah berkenaan bagi memastikan dia tidak membawa senjata, berdasarkan perangai dan perbuatannya sebelum ini.

Jabatan Polis Denver, dalam ciapan Twitter, berkata mereka mengambil langkah luar biasa itu untuk mengenal pasti remaja terbabit melakukan jenayah, sekali gus 'menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam'.

Lyle, seorang remaja lelaki berkulit hitam, kali terakhir dilihat memakai 'hoodie' hijau.

Sementara itu, Datuk Bandar Denver, Michael Hancock, berkata pihak berkuasa menganggapnya sebagai bersenjata dan berbahaya.

"Kami meminta orang ramai berhati-hati dan jangan mendekatinya kerana dia bersenjata serta berbahaya kerana sanggup menggunakan senjata itu, seperti yang kita ketahui pagi ini," katanya.

Dilaporkan juga, beberapa minggu lalu, seorang pelajar berusia 16 tahun maut ditembak di dalam keretanya di sekolah yang sama. - AFP

Berita Harian X