Rabu, 22 March 2023 | 1:42pm
Penyokong bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkumpul selepas tersebar khabar angin dia mungkin ditahan. - Foto REUTERS
Penyokong bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkumpul selepas tersebar khabar angin dia mungkin ditahan. - Foto REUTERS

Penduduk AS berbelah bahagi berhubung siasatan terhadap Trump

WASHINGTON: Kira-kira separuh rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya siasatan New York mendapati Donald Trump menyogok sejumlah wang kepada pelakon filem lucah adalah bermotifkan politik.

Ia adalah hasil tinjauan pendapat Reuters/Ipsos selama dua hari, yang mendapati 54 peratus responden termasuk 80 peratus rakan Republikan bekas presiden dan 32 peratus ahli Demokrat menyifatkan siasatan bermotifkan politik mendorong kes jenayah dipertimbangkan oleh mahkamah Manhattan.

Sementara itu, 70 peratus daripada responden dan separuh daripada Republikan, percaya bahawa ketika kempen Trump pada 2016, beliau membayar pelakon filem lucah, Stormy Daniels, untuk 'menutup mulut' mengenai dakwaan khidmat seksual.

Kira-kira 62 peratus responden, termasuk satu pertiga daripada Republikan pula percaya bahawa Trump memalsukan rekod perniagaan dan melakukan penipuan.

Penemuan itu menggariskan siasatan jenayah itu tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Trump ketika beliau berhasrat untuk bertanding semula bagi jawatan presiden pada 2024.

Dilaporkan, tiada presiden AS pernah menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah sebelum ini.

Trump, yang berdepan saingan sengit dalam cubaan ketiganya untuk pencalonan Republikan, menafikan pernah menjalinkan hubungan dengan Daniels, yang nama sebenarnya Stephanie Clifford.

Beliau, yang menjangka akan ditangkap semalam, meminta penyokongnya untuk bertindak balas dengan mengadakan bantahan dan mengumpul dana untuk kempen presidennya.

Pegawai, ahli strategi dan penganalisis Parti Republikan berkata, pendakwaan Trump hanya akan meningkatkan tekad penyokong paling setianya.

Gabenor Florida, Ron DeSantis, pesaing yang berpotensi untuk pencalonan Republikan, mengkritik apa yang disebutnya sebagai mempolitikkan pejabat peguam daerah Manhattan dan turut membidas Trump.

Trump bertindak balas secara agresif dengan siaran penuh sindiran di pentas dalam taliannya, Truth Social.

Kira-kira sembilan daripada 10 responden berkata, mereka ada mendengar mengenai kes pendakwa raya Manhattan terhadap Trump iaitu antara beberapa siasatan yang membabitkan Trump.

Seorang pendakwa daerah di Georgia sedang mempertimbangkan tuduhan Trump cuba membatalkan kekalahannya pada pilihan raya 2020.

Dilaporkan, Trump secara palsu mendakwa kekalahannya kepada Presiden Demokrat, Joe Biden, adalah disebabkan penipuan dan meminta pegawai pilihan raya Georgia mencari undi yang diperlukan Trump untuk menang.

Trump juga menghadapi siasatan Jabatan Kehakiman AS berhubung penyimpanan dokumen sulitnya selepas meninggalkan Rumah Putih dan usahanya untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020.

Kira-kira 54 peratus responden termasuk 85 peratus Demokrat dan 21 peratus Republikan berkata tuduhan Trump mendakwa penipuan pilihan raya adalah boleh dipercayai.

Tinjauan Reuters/Ipsos mengumpulkan maklum balas daripada 1,003 orang dewasa di seluruh negara, termasuk 415 Demokrat dan 383 Republikan.

Tinjauan pendapat itu mempunyai kredibiliti, ukuran ketepatan, kira-kira 4-6 mata peratusan dalam kedua-dua aspek. - REUTERS

Berita Harian X