AMERIKA SYARIKAT: Moderna Inc menjangkakan harga vaksin COVID-19 yang dikeluarkan syarikat itu adalah AS$130 (RM583) setiap dos di Amerika Syarikat (AS) pada masa akan datang apabila pembelian vaksin berkenaan berpindah daripada sektor kerajaan kepada swasta.
"Terdapat pelanggan berbeza yang berunding harga berbeza ketika ini, menyebabkan ia agak rumit," kata presiden syarikat, Stephen Hoge dalam satu temu bual semalam, menjelang pendengaran Kongres yang dikendalikan Senator Demokrat, Bernie Sanders mengenai perancangan harga Moderna.
Moderna sebelum ini berkata, syarikat itu sedang mempertimbang untuk menetapkan harga vaksin COVID-19 keluarannya antara AS$110 (RM493) dan AS$130 bagi setiap dos di AS, sama seperti julat harga vaksin oleh Pfizer Inc.
Hoge berkata, pelan kesihatan Medicare kerajaan bagi warga emas membelanjakan AS$70 (RM314) setiap dos untuk vaksin influenza bermusim.
Katanya, terdapat dua hingga tiga kali lebih banyak kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 dalam tempoh tiga bulan lalu, berbanding masalah pertimbangan harga oleh syarikat terbabit.
Pentadbiran Biden berkata, pandemik kecemasan kesihatan awam akan berakhir pada Mei, mengalihkan rundingan harga kepada syarikat insurans dan pembeli lain, bukannya kerajaan Persekutuan saja.
Sanders yang juga pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pendidikan, Buruh dan Pencen, berkata Moderna tidak seharusnya menaikkan harga vaksinnya kerana pembiayaan kerajaan yang diterima syarikat itu.
Beliau merancang untuk menyoal Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel mengenai kenaikan harga itu pada pendengaran Rabu ini.
Hoge berkata, syarikat itu sudah membayar balik sokongan Persekutuan dengan menjual sejumlah vaksin COVID mRNA yang sama seperti Pfizer kepada kerajaan, pada harga kurang AS$3 bilion (RM13.46 bilion) dan Moderna sudah membayar untuk meningkatkan pengeluaran vaksinnya sendiri.
Moderna pada Februari lalu, meramalkan penurunan jualan vaksin COVID-19 dengan ketara tahun ini, dengan pada 2022 mencecah AS$18.4 bilion (RM82.54 bilion).
Permintaan untuk suntikan vaksin itu merosot secara mendadak tahun ini disebabkan penghasilan produk di seluruh dunia dan peningkatan imuniti penduduk berikutan kadar vaksinasi yang tinggi serta jangkitan sebelumnya. - REUTERS