Sabtu, 18 March 2023 | 12:58pm
FOTO REUTERS
FOTO REUTERS

Meta lancar perkhidmatan pengesahan berbayar untuk Facebook, Instagram

WASHINGTON: Meta hari ini mengumumkan pelancaran perkhidmatan pengesahan berbayar untuk Instagram dan Facebook, dengan bayaran bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, berkata pengguna perlu membayar AS$11.99 (RM54) sebulan sekiranya menggunakan aplikasi laman sesawang, manakala telefon bimbit pula AS$14.99 (RM67.50) sebulan bagi tanda semak biru.

"Meta Verified sedang dilancarkan di AS, hari ini.

"Anda boleh mendapatkan lencana, perlindungan penyamaran proaktif dan akses terus kepada sokongan pelanggan," lapor United Press International (UPI) yang memetik kenyataan Zuckerberg menerusi Saluran Meta di Instagram.

Menurut maklumat dalam talian, pengguna tidak dibenar menggunakan satu langganan Meta Verified bagi kedua-dua akaun Instagram dan Facebook, selain perlu melanggan setiap aplikasi secara individu.

Perkhidmatan langganan itu kali pertama dilancarkan di Australia serta New Zealand pada bulan lalu, dan memerlukan kad pengenalan untuk mengesahkan identiti.

Pengguna juga tidak dibenarkan menukar nama profil, nama pengguna, foto dan sebagainya, melainkan mereka memfailkan semula proses pengesahan.

Selain itu, pengguna perlu mencecah umur 18 tahun untuk layak menggunakan perkhidmatan pengesahan. Bagaimanapun, pengguna Facebook dan Instagram yang sudah disahkan, tidak perlu membayar. – BERNAMA-UPI

Berita Harian X