Khamis, 16 March 2023 | 5:54pm
Pelakon filem lucah, Stormy Daniels, yang didakwa menerima wang daripada bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AP
Pelakon filem lucah, Stormy Daniels, yang didakwa menerima wang daripada bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AP

Trump mungkin didakwa kerana bayar pelakon lucah

NEW YORK: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) semalam bertemu dengan Stormy Daniels bagi memutuskan sama ada akan mendakwa bekas presiden, Donald Trump, berhubung wang yang diberikan kepada bintang lucah itu, sebelum pilihan raya 2016.

Menurut peguamnya, jika peguam di Manhattan mendakwa Trump, beliau yang berusia 76 tahun itu akan menjadi presiden pertama didakwa kerana melakukan jenayah.

Tindakan itu juga akan menjejaskan usahanya untuk memenangi pencalonan parti Republikan untuk bertnading dalam pilihan raya presiden pada 2024.

Siasatan berkenaan tertumpu kepada bayaran sebanyak $130,000 (RM585,390) yang diberikan seminggu sebelum pilihan raya 2016, untuk menghalang Daniels atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, mendedahkan mengenai hubungan sulitnya dengan Trump beberapa tahun sebelum itu.

Trump bagaimanapun menafikan beliau mempunyai hubungan sulit dengan Daniels.

Peguam Daniels, Clark Brewster, dalam ciapan di Twitter, berkata anak guamnya itu bertemu dengan pendakwa raya selepas diminta berbuat demikian oleh pejabat peguam daerah.

"Stormy menjawab persoalan yang diberikan dan bersetuju untuk menjadi saksi atau memberi kerjasama untuk siasatan lanjut sekiranya diperlukan," kata Brewster.

Daniels kemudian menciap kembali mesej peguamnya itu dengan mengucapkan terima kasih atas sokongannya 'dalam perjuangan untuk kebenaran dan keadilan'.

Trump turut diberi peluang untuk memberi keterangan oleh pasukan Peguam Daerah, Alvin Bragg, tetapi berkemungkinan akan menolak untuk berbuat demikian bagi mengelakkan dirinya ditampilkan sebagai orang bersalah.

Pakar berkata, peluang untuk memberikan keterangan itu adalah petanda bahawa Trump berkemungkinan akan didakwa.

Dalam catatannya di dalam pentas media sosial, Truth Social, Trump memaklumkan bahawa mengenai 'isu Daniels', dia 'bergantung kepada peguamnya untuk menyelesaikan peras ugut.. yang sudah lama berlaku' dan tidak memberi penjelasan sama ada dia mengaku bahawa pembayaran berkenaan dibuat.

Isnin lalu, bekas peguam Trump, Michael Cohen, turut memberikan keterangannya di hadapan sekumpulan juri di New York.

Difahamkan, bayaran kepada Daniels dibuat oleh Cohen, yang mendakwa ia kemudiannya sudah dibayar balik kepadanya.

Pembayaran itu boleh mengakibatkan pertuduhan salah laku yang berkaitan dengan pemalsuan rekod perniagaan.

Ia mungkin juga sebagai satu jenayah sekiranya perakaunan palsu dilakukan untuk menutup jenayah kedua, umpamanya pelanggaran kewangan ketika kempen, seperti mana dilaporkan oleh The New York Times. - AFP

Berita Harian X