Khamis, 16 March 2023 | 5:06pm
FOTO AFP
FOTO AFP

'Lepas pegangan atau TikTok diharamkan di AS'

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden didakwa menuntut pemilik daripada China untuk melepaskan pegangan mereka dalam TikTok atau aplikasi video popular itu berdepan kemungkinan diharamkan di Amerika Syarikat (AS).

Tindakan itu dilihat sebagai paling dramatik dalam siri langkah diambil sejak kebelakangan ini oleh pegawai dan pihak perundangan AS yang bimbang akan risiko data pengguna TikTok di negara ini dibocorkan kepada Kerajaan China. Aplikasi TikTok yang dimiliki syarikat China, ByteDance, mempunyai lebih 100 juta pengguna di AS.

Ia juga adalah ancaman pengharaman yang pertama bawah pentadbiran Biden terhadap TikTok. Sebelum ini, bekas Presiden AS, Donald Trump, cuba mengharamkan TikTok pada 2020 tetapi disekat oleh mahkamah AS.

Jurucakap TikTok, Brooke Oberwetter ketika bercakap kepada Reuters, mendakwa syarikat berkenaan baru-baru ini menerima makluman daripada Jawatankuasa Pelaburan Asing di AS (CFIUS) diketuai Perbendaharaan AS, menuntut pemilik daripada China supaya menjual saham mereka atau TikTok berdepan kemungkinan diharamkan di AS.

Sebelum ini, Wall Street Journal adalah yang pertama melaporkan mengenai langkah itu. ByteDance mengesahkan 60 peratus daripada sahamnya dimiliki pelabur global, 20 peratus oleh kakitangan dan 20 peratus lagi oleh pengasasnya.

Pada 2020, CFIUS sebulat suara mencadangkan supaya ByteDance melupuskan pegangan dalam TikTok.

Dikatakan bawah tekanan Trump ketika itu, ByteDance cuba memuktamadkan perjanjian dengan Walmart dan Oracle Corp untuk mengalihkan aset TikTok di AS kepada entiti baharu pada hujung 2020, namun gagal.

"Jika melindungi keselamatan nasional adalah objektifnya, pelupusan pegangan tidak menyelesaikan masalah: (kerana) perubahan pemilikan tidak akan mengenakan sebarang sekatan baharu terhadap akses atau aliran data," kata Oberwetter dalam satu kenyataan.

Rumah Putih enggan mengulas perkara itu, setakat ini.

Ketua Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, dijadualkan hadir di hadapan Kongres AS pada minggu depan. Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada Kerajaan China akan meluluskan sebarang pelupusan berkaitan, manakala Kedutaan China di Washington pula belum memberi maklum balas ketika diminta mengulas perkara itu.

Bulan lalu, Rumah Putih memberi tempoh 30 hari kepada agensi kerajaan untuk memastikan aplikasi TikTok tidak dimuat turun dalam peranti dan sistem persekutuan. Lebih 30 negeri di AS juga telah melarang kakitangan mereka daripada menggunakan TikTok dalam peranti milik kerajaan.

Sebarang tindakan pengharaman oleh kerajaan AS dijangka berdepan halangan undang-undang dan tindak balas politik, berikutan TikTok amat popular dalam kalangan jutaan golongan muda AS. - REUTERS

Berita Harian X