Isnin, 13 March 2023 | 10:47am
Papan tanda untuk ibu pejabat Silicon Valley Bank (SVB) dilihat di Santa Clara, California, AS. - Foto REUTERS
Papan tanda untuk ibu pejabat Silicon Valley Bank (SVB) dilihat di Santa Clara, California, AS. - Foto REUTERS

Silicon Valley lega AS campur tangan dalam kebankrapan SVB

NEW YORK: Kakitangan Silicon Valley Bank (SVB) semalam lega apabila pengawal selia yang mengambil alih bank bankrap itu mengaturkan rancangan pembiayaan kecemasan dan rayuan bantuan, meskipun mesyuarat lembaga pengarah berlangsung tegang sebelum itu.

Pengawal selia perbankan petang semalam berkata, pendeposit di SVB yang ditutup Jumaat lalu, akan mempunyai akses kepada dana mereka mulai hari ini, sekali gus meredakan sedikit kebimbangan mengenai syarikat pemula yang akan bergelut membayar gaji kakitangannya minggu ini.

Penutupan bank itu mengikuti kenaikan kadar faedah yang menjejaskan pelanggan pemulanya dan percubaan meningkatkan modal yang gagal, mendorong pengeluaran deposit.

Walaupun kelegaan itu ketara, persoalan tetap tertumpu mengenai kaedah pembiayaan untuk syarikat pemula, yang bergantung sokongan SVB untuk menyokong perniagaan yang tidak terbukti, dielakkan oleh bank yang lebih besar.

Bank terbabit juga masih belum menemui pembeli sehingga semalam, yang menjadi harapan banyak firma modal usahasama dan pengasas teknologi yang dahagakan berita positif.

"Ini adalah langkah besar dalam memulihkan keyakinan dalam komuniti pemula. Sebelum langkah ini, banyak syarikat pemula merancang langkah kecemasan yang mungkin akan menyebabkan lebih banyak pemberhentian dan pekerja diberhentikan.

"Tindakan itu memberikan kepastian yang amat diperlukan yang semua orang memperoleh gaji hari ini," kata Pengasas Firma Usahasama peringkat awal Decibel Partners, Jon Sakoda.

Penutupan mengejut bank itu menyebabkan suasana bungkam di Silicon Valley yang juga bergelut dalam tempoh suram susulan pemberhentian teknologi dan pengurangan perbelanjaan pengguna.

Eksekutif syarikat, kebanyakannya menyimpan semua dana mereka di SVB, menggunakan Twitter dan rangkaian media sosial lain untuk meminta bantuan.

Sam Altman, yang mengetuai OpenAI, yang terkenal dengan perisian kepintaran buatan (AI) ChatGPT, adalah antara mereka yang menjawab panggilan itu, menawarkan pembiayaan kecemasan kepada syarikat pemula untuk membantu mengharungi ketidakpastian dan membayar pekerja mereka, lapor Reuters semalam.

Pelabur teknologi Asheesh Birla menghabiskan tiga hari terakhir bekerja tanpa henti, menasihatkan syarikat mengenai cara membuat pembayaran gaji, atau menggesa orang ramai menghubungi ahli politik tempatan mereka.

Sementara itu semalam, kenyataan bersama oleh badan kerajaan Amerika Syarikat (AS) termasuk Jabatan Perbendaharaan dan Rizab Persekutuan menunjukkan pembayar cukai tidak akan menanggung sebarang kos yang berkaitan dengan rancangan baharu SVB.

Bagaimanapun, pemegang saham dan beberapa pemiutang tidak bercagar tidak akan menerima perlindungan sama.

Birla meramalkan dalam beberapa hari ini, syarikat pemula akan bergegas beramai-ramai untuk membuka akaun di bank besar.

Manakala bagi syarikat yang memegang jumlah tunai besar, beliau berpendapat, akan terdapat lonjakan minat untuk mengambil bendahari yang akan berusaha untuk meminimumkan jumlah wang yang dipegang oleh syarikat pada bila-bila masa.

SVB sehingga kini telah menjadi sumber pembiayaan yang boleh dipercayai untuk pemula berbanding bank lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Rad AI, Dr Gurson, berkata perkembangan itu mewakili 'keluh kesah kolektif' selepas berhari-hari bimbang tentang cara membuat senarai gaji untuk pemulanya dengan kira-kira 65 pekerja. - REUTERS

Berita Harian X