Sabtu, 11 March 2023 | 12:00am
Pelajar wanita Afghanistan meninggalkan Universiti Kabul di Kabul, Afghanistan, selepas Taliban menguatkuasa larangan wanita belajar di universiti. - Foto EPA
Pelajar wanita Afghanistan meninggalkan Universiti Kabul di Kabul, Afghanistan, selepas Taliban menguatkuasa larangan wanita belajar di universiti. - Foto EPA

Bantuan Taliban mungkin dipotong kerana tindas wanita - PBB

NEW YORK: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan memberi amaran tindakan keras pentadbiran Taliban menindas hak asasi wanita boleh mengakibatkan pengurangan bantuan dan pembiayaan pembangunan bagi negara itu.

PBB membuat rayuan bantuan terbesar bagi sebuah negara dengan meminta AS$4.6 bilion (RM20.25 bilion) tahun ini untuk dihantar ke Afghanistan, di mana dua pertiga penduduknya berjumlah 28 juta orang perlukan bantuan untuk hidup, kata Roza Otunbayeva.

Namun, beliau memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bahawa menyediakan bantuan seperti itu berisiko kerana pentadbiran Taliban mengharamkan wanita memasuki sekolah tinggi dan universiti, berkunjung ke taman, dan bekerja dengan kumpulan bantuan.

Kaum wanita Afghanistan, yang menyifatkan kebimbangan disekat daripada kehidupan awam sama seperti mengalami kematian ganas, turut dilarang keluar rumah tanpa ditemani saudara lelaki, dan mesti menutup muka.

"Pembiayaan untuk Afghanistan mungkin berkurangan jika kaum wanita tidak dibenarkan bekerja.

"Jika jumlah bantuan dikurangkan, maka bantuan wang tunai dolar AS untuk menyokong bantuan itu juga akan berkurangan," kata Otunbayeva.

Beliau berkata, rundingan mengenai menyediakan lebih banyak bantuan pembangunan seperti projek prasarana kecil atau dasar bagi mengatasi kesan perubahan iklim terhenti disebabkan pengharaman itu.

AS adalah penderma terbesar rancangan bantuan PBB 2022 di Afghanistan, dengan sumbangan lebih AS$1 bilion (RM4.4 bilion).

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pemotongan bantuan, jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, berkata Washington sedang melihat kesan larangan terhadap penghantaran bantuan dan berunding rapat dengan PBB. - REUTERS

Berita Harian X