Sabtu, 4 March 2023 | 10:18am
Gambar fail Roger Ng. - FOTO REUTERS
Gambar fail Roger Ng. - FOTO REUTERS

Roger Ng patut dipenjara 15 tahun - Pendakwa raya AS

NEW YORK: Pendakwa raya Amerika Syarikat semalam menggesa hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, selepas dia disabitkan bersalah membantu merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Juri di mahkamah persekutuan Brooklyn pada April lalu mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya, Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, mencuci wang dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

Leissner pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara.

Hakim Daerah AS, Margo Brodie dijangka menjatuhkan hukuman kepada Ng pada 9 Mac.

Dalam rayuannya pada 25 Februari, Ng meminta agar dia tidak dikenakan hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

Dia telah menghabiskan enam bulan di penjara Malaysia sebelum mengetepikan haknya untuk mencabar ekstradisi ke AS pada 2018.

Ng telah dibebaskan dengan ikat jamin tetapi tertakluk kepada perintah berkurung sejak disabitkan kesalahannya.

Tuduhan itu berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB, yang diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia, yang dijual pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion) dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Ng telah mengaku tidak bersalah, dan berhujah bahawa bayaran sogokan AS$35 juta (RM156.65 juta) yang dituduh diterimanya sebenarnya adalah pulangan atas pelaburan yang dibuat isterinya.

Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama.

Dia masih belum dijatuhkan hukuman. - REUTERS

Berita Harian X