SAO PAULO: Angka kematian akibat hujan lebat yang memusnahkan kawasan pesisir pantai di Sao Paulo semalam mencecah 57 orang.
Sejak hujung minggu lalu, hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir di bandar pesisir pantai yang terkaya di Brazil.
Setakat ini, bandar Sao Sebastiao berdepan jumlah kematian terbesar dengan 56 orang dilaporkan meninggal dunia.
Kerajaan negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan, berkata hujan lebat dijangka manakala usaha mencari dan menyelamat diteruskan dengan puluhan masih hilang.
"Lebih 4,000 orang terpaksa keluar dari rumah kediaman masing-masing", tambahnya
Kerajaan tempatan turut menggesa pelancong supaya tidak mengunjungi bandar di daerah itu bagi mengelak beban kepada hospital, jalan raya, bekalan air dan makanan.
Katanya, pihak kerajaan tempatan sedang mengambil langkah kawalan untuk mengelakkan harga makanan, air, bahan api dan bekalan lain di kawasan itu meningkat.
Menteri Pembangunan Wilayah, Waldez Goes, semalam, berkata Presiden Luiz Inacio Lula da Silva sudah mengarahkan beliau mengekalkan dialog dengan pegawai tempatan dan memastikan perkhidmatan diberikan kepada penduduk yang terjejas.
Sementara itu di New Zealand yang dilanda Taufan Gabrielle hampir dua minggu lalu, 13 mangsa masih lagi hilang ketika hujan lebat terus membadai kawasan North Island.
Taufan yang melanda kawasan utara kepulauan itu meragut 11 nyawa dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal, dengan lebih 6,000 penduduk setempat masih gagal dihubungi kerana taufan memusnahkan sistem komunikasi.
Menurut polis New Zealand dalam satu kenyataan, Hawke's Bay adalah antara kawasan paling teruk terjejas dengan hujan lebat terus mengancam banjir besar, sekali gus memaksa penduduk berpindah.
Dalam pada itu, New Zealand terus berjaga-jaga dan memantau teliti perkembangan cuaca di Fiji kerana mungkin dilanda taufan minggu depan, dengan negara berjiran itu berpotensi besar terkena tempiasnya, - AGENSI