WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata yang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan lima di kampus universiti Amerika Syarikat (AS) menembak dirinya sendiri semalam selepas pemburuan besar-besaran polis.
Beribu-ribu pelajar di Michigan State University (MSU) diarah berlindung di tempat selamat selepas tembakan dilepaskan di bangunan kampus pada awal petang, menyebabkan dua orang maut.
Lelaki bersenjata itu melarikan diri ke kesatuan pelajar, di mana dia membunuh seorang lagi, mencetuskan operasi besar polis ketika pegawai mengerumuni kampus seluas 5,000 ekar itu.
Sejurus selepas tengah malam, polis mengesahkan suspek lelaki bersenjata itu telah menembak mati dirinya sendiri dalam jarak yang dekat.
"Kami sedih untuk melaporkan bahawa terdapat tiga kematian yang disahkan," kata Timbalan Ketua Polis Universiti, Chris Rozman kepada pemberita.
"Ini adalah tambahan kepada lima mangsa yang cedera dan dihantar ke hospital. Sebahagian daripada lima mangsa itu masih mengalami kecederaan yang mengancam nyawa."
Rozman berkata, ratusan pegawai dari beberapa agensi telah terbabit dalam operasi mencari lelaki bersenjata itu, menyiarkan gambar lelaki kulit hitam berjaket biru longgar, dan memakai kasut merah.
"Suspek dalam kejadian ini berada di luar kampus MSU," katanya.
"Suspek telah meninggal dunia akibat luka tembakan yang dilakukan sendiri."
"Ini benar-benar menjadi mimpi ngeri yang kami alami malam ini. Kami lega kerana tidak lagi mempunyai ancaman aktif di kampus," kata Rozman.
Polis enggan memberikan butiran mangsa, termasuk sama ada mereka pelajar atau ahli fakulti universiti itu, salah satu institusi terkemuka di AS.
Mereka juga berkata, tidak dapat mengesahkan sama ada suspek mempunyai sebarang kaitan dengan universiti itu tetapi berkata mereka tidak mengetahui sebarang ancaman terhadap masyarakat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Keganasan senjata api adalah perkara biasa yang membimbangkan di AS, sebuah negara di mana terdapat lebih banyak senjata daripada orang dan di mana percubaan untuk mengekang penyebarannya sentiasa mendapat tentangan keras.
Berpuluh-puluh ribu orang mati setiap tahun selepas ditembak, dan ramai lagi yang cedera.
Bulan lalu, 11 orang mati ditembak apabila seorang lelaki warga emas melepaskan tembakan di sebuah dewan tarian di California di mana penduduk tempatan menyambut Tahun Baru.
Beberapa hari kemudian seorang pekerja ladang membunuh tujuh rakan sekerja beberapa ratus batu jauhnya.
Pegawai MSU berkata, semua aktiviti kampus akan dibatalkan selama 48 jam akan datang.
Kira-kira 50,000 pelajar mendaftar di MSU, sebahagian besar daripada mereka adalah mahasiswa, menurut laman web universiti itu. - AFP