Khamis, 2 Februari 2023 | 3:42pm
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken. - Foto AFP
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken. - Foto AFP

AS umum sekatan baharu visa kepada anggota Taliban

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan sekatan baharu visa kepada anggota Taliban sebagai balasan terhadap tindakan rejim itu menyekat hak wanita.

"Sekatan itu terpakai ke atas anggota Taliban atau bekas anggota dan individu lain yang dipercayai bertanggungjawab atau bersubahat dalam usaha menindas wanita serta gadis di Afghanistan melalui dasar sekatan dan keganasan.

"Ini termasuk keputusan Taliban untuk mengharamkan wanita dari memasuki universiti dan bekerja dengan NGO.

 "Ahli keluarga terdekat mereka yang terbabit juga mungkin tertakluk kepada sekatan visa itu," kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, dalam satu kenyataan, menurut Agensi Anadolu.

Blinken berkata Taliban sekali lagi membuat keputusan tanpa menghiraukan kebajikan rakyat Afghanistan, yang memaksa lebih satu juta gadis dan wanita muda Afghanistan tidak mendapat akses kepada pendidikan.

Beliau berkata Taliban tidak wajar mengharapkan pengiktirafan dan sokongan masyarakat antarabangsa selagi mereka tidak menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asasi semua rakyat Afghanistan termasuk wanita dan gadis.

Pentadbiran Taliban dilaporkan akan mengambil langkah untuk menutup universiti kepada pelajar wanita sehingga diberitahu kelak dan menghalang kanak-kanak perempuan daripada menghadiri sekolah menengah, menyekat kebebasan wanita dan kanak-kanak.

Wanita juga dilarang daripada menceburi kebanyakan pekerjaan selain melarang mereka menggunakan beberapa kemudahan. - BERNAMA

Berita Harian X