WASHINGTON: Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) melaporkan pelbagai berita palsu yang tersebar di media sosial itu perlu diperbetulkan segera bagi meyakinkan orang ramai mengenai manfaat vaksin.
Paparan di media sosial menunjukkan kesan sampingan teruk yang didakwa dialami orang ramai selepas menerima vaksin COVID-19 mendorong pergerakan antivaksin menimbulkan keraguan mengenai keselamatan pelalian itu.
Menurut CDC, pengguna Twitter banyak berkongsi video individu mendakwa pernah mengalami gejala menggeletar, sawan, lumpuh dan kecederaan lain selepas vaksinasi, namun tiada bukti menunjukkan mana-mana rakaman itu adalah sahih.
Ada juga pihak lain mendakwa, vaksin COVID-19 sebagai punca kematian Lisa Marie Presley dan wartawan sukan, Grant Wahl, walaupun tiada bukti menyokong spekulasi itu, lapor The Atlantic.
Biarpun vaksin COVID-19 jarang menyebabkan kecederaan, diakui memang ada kesan dikaitkan dengan pelalian itu, namun bukan semua yang didakwa itu benar.
Berdasarkan data CDC, penerima vaksin COVID-19 mungkin mengalami anafilaksis, iaitu sejenis tindak balas alahan teruk, manakala trombositopenia, kesan menyebabkan pembekuan darah dalam pembuluh darah besar, masing-masing berlaku dalam lima dan empat kes dalam sejuta dos diberikan.
Selain itu, katanya, Sindrom Guillain-Barre, gangguan jarang berlaku dan boleh menyebabkan kelemahan otot serta lumpuh, dilaporkan pada pesakit lelaki 50 tahun ke atas yang menerima vaksin COVID-19 keluaran Johnson & Johnson.
CDC berkata, sesetengah penerima mengalami miokarditis dan perikarditis, iaitu keradangan otot jantung dan lapisan luar jantung, masing-masing, selepas menerima vaksin COVID-19 keluaran Moderna dan Pfizer.
Hasil kajian CDC tahun lalu, mendapati keadaan itu paling banyak berlaku pada kanak-kanak berusia 16 hingga 17 tahun, dengan 105.9 kes bagi setiap sejuta dos diberikan.
Selain itu, CDC mendapati terdapat laporan awal kematian membabitkan 18,769 daripada lebih 667 juta penerima dos vaksin COVID-19 antara 14 Disember 2020 hingga 18 Januari lalu, namun laporan itu tidak semestinya mengaitkan vaksin adalah punca kematian.
CDC berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) AS memerlukan penyedia penjagaan kesihatan melaporkan sebarang kematian selepas vaksinasi COVID-19 kepada Sistem Laporan Kesan Vaksin (VAERS), biarpun puncanya belum jelas.
Laporan itu, termasuk sijil kematian, bedah siasat dan rekod perubatan, disemak pegawai CDC dan FDA bagi menentukan punca kematian rasmi.
Namun, VAERS membenarkan sesiapa saja untuk menyerahkan laporan mengenai sebarang kemungkinan tindak balas selepas vaksin dan mempunyai penafian jelas berhubung laporan mungkin 'mengandungi maklumat tidak lengkap dan tepat, kebetulan atau tidak dapat disahkan'.
Walaupun sesetengah individu mengalami kesan sampingan serius, CDC berkata vaksin selamat dan berkesan serta sudah melalui pelbagai ujian klinikal untuk memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan FDA. - AGENSI