KINGSTON: Pemegang rekod 100 dan 200 meter dunia, Usain Bolt, berkata beliau tertekan untuk cuba mendapatkan kembali lebih AS$12.7 juta (RM54 juta) yang hilang daripada akaunnya di firma pelaburan Jamaica.
Bolt, 36, sebelum ini dimaklumkan baki akaunnya di Stocks and Securities Ltd (SSL) yang berpangkalan di Kingston telah menyusut kepada hanya AS$12,000 (RM50,000), kata peguam Linton Gordon kepada Reuters.
"Ia sukar, tetapi saya fikir selama bertahun-tahun saya bertanding ia telah membantu saya memahami dan memberi tumpuan kepada perkara yang penting," kata Bolt kepada pemberita semalam.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Gibson McCook Relays di Kingston selepas diumumkan sebagai duta pertandingan olahraga itu.
"Saya akan menyerahkan perkara itu di tangan peguam saya dan memberi tumpuan kepada keluarga saya, cuba jangan terlalu memikirkannya kerana ia adalah situasi yang tertekan," tambah juara dunia 11 kali itu.
SSL dalam satu kenyataan 12 Januari lalu berkata, pihaknya telah menyedari aktiviti penipuan oleh bekas pekerja dan telah merujuk perkara itu kepada penguatkuasa undang-undang, sambil menambah firma itu telah mengambil langkah untuk mendapatkan aset dan mengukuhkan protokol.
Pasukan Constabulary Jamaica berkata, pasukan penyiasatan penipuan dan kewangannya sedang menyiasat dakwaan aktiviti penipuan di (SSL) yang dikatakan telah menjejaskan akaun Bolt dan beberapa individu lain.
Menurut Gordon, akaun disimpan Bolt bertujuan untuk persaraan juara Olimpik lapan kali dan ibu bapanya.
Bolt bersara pada 2017 selepas mendominasi acara lari pecut global selama sedekad, menghidupkan semula sukan yang dilanda skandal doping dan menjadi terkenal seperti pemain bola sepak Brazil, Pele dan juara tinju Amerika, Muhammad Ali. - REUTERS