Sabtu, 28 Januari 2023 | 10:36am
Langkah pengharaman TikTok atas kebimbangan keselamatan negara AS. - Foto REUTERS
Langkah pengharaman TikTok atas kebimbangan keselamatan negara AS. - Foto REUTERS

Panel Dewan AS akan mengundi bulan depan kemungkinan mengharamkan TikTok

WASHINGTON: Jawatankuasa hal ehwal luar Dewan Rakyat merancang mengadakan undian bulan depan mengenai rang undang-undang (RUU) bertujuan menyekat penggunaan aplikasi media sosial popular China TikTok di Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu, yang dirancang oleh wakil republikan, ketua panel Perwakilan, Michael McCaul bertujuan memberi Rumah Putih hak perundangan untuk melarang TikTok atas kebimbangan keselamatan negara AS.

"Kebimbangannya ialah aplikasi ini memberikan pintu belakang kepada kerajaan China ke dalam telefon kami," kata McCaul kepada Bloomberg News, yang melaporkan masa pengundian lebih awal.

Pada tahun 2020, Presiden Donald Trump ketika itu cuba menyekat pengguna baharu daripada memuat turun TikTok dan melarang transaksi lain yang akan menyekat penggunaan aplikasi itu di AS, tetapi beliau tewas dalam beberapa peringkat di mahkamah berhubung langkah itu.

Pentadbiran Joe Biden pada Jun 2021 secara rasmi membatalkan usaha itu.

Pada Disember, Senator Republikan, Marco Rubio melancarkan undang-undang dwipartisan untuk mengharamkan TikTok, yang juga akan menyekat semua transaksi daripada mana-mana syarikat media sosial di dalam atau di bawah pengaruh China dan Russia.

Pengharaman aplikasi video pendek, yang dimiliki oleh ByteDance dan popular dalam kalangan remaja itu akan menghadapi halangan besar dalam Kongres untuk lulus, dan memerlukan 60 undi di Senat.

Selama tiga tahun, TikTok - yang mempunyai lebih 100 juta pengguna AS - telah berusaha untuk meyakinkan Washington bahawa data peribadi warga AS tidak boleh diakses dan kandungannya tidak boleh dimanipulasi oleh Parti Komunis China atau sesiapa sahaja di bawah pengaruh Beijing.

Katanya, tindakan melarang TikTok sepenuhnya adalah cubaan mengalihkan perhatian terhadap isu keselamatan negara dan isu industri yang luas seperti keselamatan data, privasi dan kemudaratan dalam talian.

Jawatankuasa Pelaburan Asing AS (CFIUS) kerajaan AS, sebuah badan keselamatan negara yang berkuasa, pada 2020 mengarahkan ByteDance untuk melepaskan TikTok kerana bimbang data pengguna AS boleh diserahkan kepada kerajaan China.

CFIUS dan TikTok telah berbincang sejak 2021, bertujuan mencapai perjanjian keselamatan negara untuk melindungi data pengguna TikTok AS.

TikTok berkata, ia mempunyai pakej yang komprehensif dengan lapisan kerajaan dan pengawasan bebas untuk memastikan tiada pintu belakang ke TikTok yang boleh digunakan untuk memanipulasi platform dan melabur kira-kira AS$1.5 bilion (RM ) setakat ini untuk usaha terbabit.

Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre enggan mengulas mengenai RUU itu.

"Ia dalam semakan oleh (CFIUS), jadi saya tidak akan menjelaskan butiran mengenainya," kata Jean-Pierre.

Disember lalu, Biden menandatangani undang-undang larangan ke atas pekerja persekutuan menggunakan atau memuat turun TikTok pada peranti milik kerajaan.

Lebih 25 negeri AS juga telah mengharamkan penggunaan TikTok pada peranti milik kerajaan. - REUTERS

Berita Harian X