Jumaat, 27 Januari 2023 | 11:45am
Laman sesawang penggodam yang tersembunyi didedahkan pada sidang media mengumumkan kejayaan menumpaskan kumpulan penggodam ‘Hive’, di Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Washington. - Foto AFP
Laman sesawang penggodam yang tersembunyi didedahkan pada sidang media mengumumkan kejayaan menumpaskan kumpulan penggodam ‘Hive’, di Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Washington. - Foto AFP

AS 'godam' kumpulan penggodam 'ransomware' antarabangsa

WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dilaporkan berjaya menumpaskan rangkaian kumpulan penggodam 'ransomware' prolifik antarabangsa yang mereka intip sejak tahun lalu.

Khamis lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Merrick Garland, berkata susulan kejayaan itu, FBI menyelamatkan mangsa termasuk hospital dan sekolah awam daripada membuat bayaran tebusan AS$130 juta (RM550 juta).

"Ringkasnya, menggunakan cara yang sah, kami berjaya menggodam penggodam," kata Timbalan Peguam Negara AS, Lisa Monaco, dalam satu sidang akhbar.

Pegawai AS berkata sindiket yang disasarkan, dikenali sebagai 'Hive', mengendalikan satu daripada lima rangkaian 'ransomware' terkenal dunia.

FBI mendapat akses kepada panel kawalannya pada Julai dan dapat memperoleh kunci perisian untuk menyahsulitkan rangkaian kira-kira 1,300 mangsa di seluruh dunia, kata Pengarah FBI, Christopher Wray.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana kejayaan ini akan menjejaskan operasi jangka panjang 'Hive'.

Pegawai AS tidak mengumumkan sebarang penangkapan tetapi berkata mereka sedang mengumpul maklumat pentadbir 'Hive', yang menguruskan perisian, dan ahli gabungan, yang menjangkiti sasaran serta berunding dengan mangsa, untuk meneruskan proses pendakwaan.

"Saya rasa sesiapa yang terbabit dengan 'Hive' harus bimbang kerana siasatan ini sedang berjalan," kata Wray.

Rabu lalu, ejen FBI merampas infrastruktur komputer di Los Angeles yang digunakan untuk menyokong rangkaian 'Hive' dan laman sesawang gelap 'Hive turut dirampas.

"Jenayah siber adalah ancaman yang sentiasa berubah, tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, Jabatan Kehakiman akan membawa sesiapa saja, di mana-mana saja yang menyasarkan AS dengan serangan perisian tebusan ke muka pengadilan," kata Wray.

Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray (tengah) mengumumkan kejayan menumpaskan kumpulan penggodan ‘Hive’ di Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Washington. - Foto EPA
Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray (tengah) mengumumkan kejayan menumpaskan kumpulan penggodan ‘Hive’ di Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Washington. - Foto EPA

Perisian 'ransomware' adalah masalah jenayah siber terbesar di dunia dari perkhidmatan pos Britain dan perkhidmatan kesihatan kebangsaan Ireland sehingga kerajaan Costa Rica pernah dilumpuhkan oleh sindiket Russia yang dilindungi oleh Kremlin.

Penjenayah akan menyekat atau mengganggu rangkaian komputer mangsa, mencuri data sensitif dan menuntut bayaran tebusan dalam jumlah yang besar.

Garland berkata, antara contoh serangan 'Hive' termasuk kes kumpulan itu menghalang hospital di AS pada 2021 daripada menerima pesakit baharu ketika kemuncak wabak COVID-19.

AS. tahun lalu mengeluarkan amaran 'ransomware' 'Hive' menjadikan lebih 1,300 syarikat di seluruh dunia sebagai mangsa antara Jun 2021 hingga November 2022, dan menerima kira-kira AS$100 juta (RM424 juta) bayaran tebusan.

Penjenayah siber menggunakan 'ransomware' 'Hive' untuk menyasarkan pelbagai perniagaan dan infrastruktur kritikal, termasuk kerajaan, pembuatan dan penjagaan kesihatan serta kemudahan kesihatan awam.

Ancaman itu menarik perhatian peringkat tertinggi pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, dua tahun lalu selepas beberapa siri serangan berprofil tinggi yang mengancam infrastruktur kritikal dan industri global.

Pada Mei 2021, penggodam menyasarkan saluran paip bahan api terbesar AS, menyebabkan pengendali terpaksa menutupnya dan membuat bayaran tebusan berjuta-juta dolar, yang sebahagian besarnya diperoleh kembali kerajaan AS.

Pegawai persekutuan AS menggunakan pelbagai alat untuk cuba memerangi masalah itu, tetapi langkah penguatkuasaan undang-undang konvensional seperti penangkapan dan pendakwaan tidak banyak membantu untuk menyekat penjenayah siber.

FBI memperoleh akses kepada kunci penyahsulitan sebelum ini dalam kes serangan perisian tebusan utama 2021 ke atas Kaseya, sebuah syarikat yang perisiannya mengendalikan ratusan laman sesawang.

Bagaimanapun, ia mengambil masa beberapa minggu untuk membantu mangsa membuka kunci rangkaian yang terjejas. - (AP)

Berita Harian X