WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendakwa lima pegawai polis dengan pertuduhan membunuh susulan kematian seorang lelaki kulit hitam kerana dipukul.
Dalam satu kenyataan, peguam keluarga mangsa, Ben Crump dan Antonio Romanucci, berkata mangsa, Tyre Nichols, 29, diarahkan berhenti oleh Polis Memphis di sebuah kawasan hentian pada 7 Januari lalu atas alasan memandu secara melulu.
" Selepas kejar mengejar, polis bertindak kasar dengan mangsa dan dipukul teruk sehingga beliau tidak dapat dikenali," katanya.
Sementara itu, Jabatan Polis Memphis, dalam satu kenyataan, berkata lima pegawai polis yang juga berkulit hitam, kini sudah dipecat.
Siasatan dalaman polis mendapati mereka melanggar pelbagai peraturan jabatan, termasuk penggunaan kekerasan yang berlebihan, selain cuai dalam kewajipan untuk campur tangan dan kewajipan untuk memberikan bantuan.
Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, dan dia meninggal dunia pada 10 Januari.
"Mereka didapati bertanggungjawab secara langsung atas penderaan fizikal terhadap Nichols.
"Ini bukan saja kegagalan profesional, ini adalah kegagalan asas kemanusiaan terhadap individu lain. Kejadian ini amat keji, melulu dan tidak berperikemanusiaan," kata Ketua Polis Memphis, Cerelyn Davis, lewat Rabu lalu.
Lima pegawai itu - Justin Smith, Tadarrius Bean, Demetrius Haley, Emmitt Martin III dan Desmond Mills Jr - turut didakwa dengan pertuduhan melakukan serangan dan penculikan, dengan kesemua mereka kini dalam tahanan polis.
Peguam keluarga mangsa berkata penahanan dan pendakwaan kesemua pegawai terbabit atas tindakan mereka memberi harapan kepada keluarga mangsa yang mahukan keadilan.
Pihak berkuasa mengesahkan video kejadian itu wujud dan akan dikeluarkan selepas 6 petang esok.
"Anda akan berasa marah atas pengabaian hak asasi manusia yang berlaku," kata Davis.
Peguam keluarga yang menonton klip itu berkata mereka telah melihat sendiri bagaimana mangsa kehilangan nyawa di tangan polis Memphis.
Tambah peguam terbabit, kejadian itu menunjukkan ada keperluan terdesak untuk perubahan dan pembaharuan untuk memastikan keganasan ini berhenti berlaku semasa prosedur ancaman rendah, seperti dalam kes ini, kesalahan di jalan raya.
Ketidakadilan perkauman dan kekejaman polis menjadi perhatian di AS sejak kematian George Floyd pada 2020, seorang lelaki kulit hitam berusia 46 tahun yang dibunuh oleh seorang pegawai polis kulit putih di Minneapolis. - AFP