WASHINGTON: Penasihat kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) menyokong vaksin asal COVID-19 menyasarkan rangkaian varian coronavirus terus digunakan sebagai suntikan dos awal dan dos penggalak.
Bagaimanapun, masih ada pendapat yang meragui sama ada semua rakyat AS perlu menerima suntikan penggalak vaksin COVID-19 setiap tahun.
Agensi itu kini berusaha memudahkan dasar vaksin COVID-19 kerana ia sedang mempertimbangkan sama ada mahu mengesyorkan warga AS untuk mendapatkan suntikan vaksin penggalak tahunan untuk virus itu.
Beberapa ahli kumpulan penasihat pakar meminta data yang lebih kukuh mengenai faedah suntikan tahunan untuk orang yang muda dan sihat.
Menurut profesor pediatrik di Pusat Perubatan Universiti Stanford, Hayley Gans, warga AS berada dalam keadaan yang sangat berbeza.
"Kami mempunyai imuniti kelompok yang besar, sekarang orang ramai sudah kebal, namun tidak pasti berapa lama ia mampu bertahan," katanya.
Pembuat vaksin Pfizer Inc bersama rakan kongsi BioNTech SE dan Moderna Inc memperkenalkan versi terkini vaksin COVID-19 mereka pada akhir tahun lalu, yang menyasarkan varian Omicron serta coronavirus asal, yang hanya diguna sebagai suntikan penggalak di AS.
Kumpulan penasihat FDA juga sebulat suara menyokong penggunaan vaksin terbabit sebagai suntikan utama bagi mereka yang masih belum diberi vaksin COVID-19.
FDA mungkin mengadakan mesyuarat pada akhir tahun ini untuk menentukan komposisi suntikan untuk musim luruh, walaupun sesetengah pembuat vaksin mungkin dapat menghasilkan dos suntikan yang ditambah baik dengan lebih cepat.
Pfizer/BioNTech dan Moderna dapat menghasilkan penggalak RNA messenger dalam masa kira-kira tiga bulan tahun lalu.
Novavax Inc, semalam berkata ia memerlukan enam bulan untuk membuat versi baharu vaksin COVID-19 berasaskan protein direka untuk dipadankan dengan varian coronavirus yang merebak sekarang.
Pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi agensi itu, Peter Marks, berkata FDA akan mempertimbangkan garis masa awal untuk vaksin seperti Novavax berikutan penilaian pembuatan syarikat.
Terdahulu, pegawai kesihatan dalam pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, mencadangkan bahawa suntikan penggalak COVID-19 tahunan yang ditambah baik boleh memberikan tahap perlindungan tinggi terhadap kesan yang teruk. - REUTERS