WASHINGTON: Lebih satu pertiga daripada hutan hujan Amazon mungkin sudah musnah akibat kegiatan manusia selain musim kemarau.
Penyelidik berpendapat tindakan segera diperlukan untuk melindungi ekosistem bumi yang sangat penting itu.
Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Science, penyelidik berkata kerosakan yang berlaku ke atas hutan yang merentasi sembilan negara itu adalah jauh lebih teruk daripada yang dijangka sebelum ini.
Untuk kajian itu, mereka meneliti kesan kebakaran, pembalakan, kemarau dan perubahan kepada habitat di sepanjang sempadan hutan, yang dikenali sebagai kesan sampingan.
Kebanyakan penyelidikan terhadap ekosistem Amazon sebelum ini hanya memberi tumpuan kepada kesan penebangan hutan.
Kajian itu mendapati kebakaran, pengeluaran kayu dan kesan sampingan lain kini menjejaskan sekurang-kurangnya 5.5 peratus daripada semua baki hutan Amazon, atau 364,748 kilometer (km) persegi, antara 2001 dan 2018.
Selepas kesan kemarau diambil kira, kawasan yang musnah atau terjejas meningkat kepada 2.5 juta km persegi, atau 38 peratus daripada baki hutan Amazon.
"Kemarau melampau menjadi semakin kerap di Amazon apabila perubahan guna tanah dan peningkatan perubahan iklim yang disebabkan perbuatan manusia, menyebabkan kematian pokok, kebakaran, dan pelepasan karbon ke atmosfera," kata penyelidik.
Mereka turut memberi amaran mengenai bahaya kebakaran hutan mega, atau kemungkinan kebakaran hutan yang lebih teruk semasa musim kemarau.
Dalam usaha menghasilkan data, penyelidik Universidade Estadual de Campinas di Brazil dan institusi lain menggunakan imej satelit dan data lain dari 2001 hingga 2018.
Dalam kajian berasingan yang diterbitkan jurnal Science mengenai kesan manusia di Amazon, penyelidik dari Universiti Louisiana, Lafayette di Indiana, Amerika Syarikat (AS) turut meminta tindakan diambil bagi tujuan sama.
"Amazon semakin pantas berubah daripada landskap semula jadi kepada hutan yang terjejas di bawah tekanan gabungan faktor penebangan hutan serantau dan perubahan iklim global.
"Perubahan berlaku terlalu cepat untuk spesies haiwan, masyarakat, dan ekosistem Amazon bertindak balas bagi menyesuaikan diri.
"Dasar untuk mencegah kesan lebih teruk mesti digubal segera kerana jika gagal, ini bermakna kita gagal mempertahankan biosfera dan gagal bertindak terhadap bahaya yang berlaku," kata kumpulan penyelidik dalam kenyataan bersama.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang berhaluan kiri, berjanji untuk menamatkan penebangan hutan Amazon menjelang 2030. - AFP