Rabu, 25 Januari 2023 | 5:52pm
Boeing 737 MAX 8 yang dikendalikan oleh Ethiopian Airlines, terhempas pada 10 Mac 2019 di tenggara Addis Ababa. - Foto AFP
Boeing 737 MAX 8 yang dikendalikan oleh Ethiopian Airlines, terhempas pada 10 Mac 2019 di tenggara Addis Ababa. - Foto AFP

Lembaga keselamatan AS tegur Ethiopia berhubung laporan Boeing 737 MAX

WASHINGTON: Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) menegur kesalahan laporan akhir Ethiopia mengenai nahas Boeing 737 MAX pada Mac 2019.

NTSB juga menegur mengenai penyiasat tidak menangani prestasi kru penerbangan dengan secukupnya.

Pengerusi NTSB, Jennifer Homendy, berkata Biro Penyiasatan Pesawat Ethiopia (EAIB) telah membuat kesilapan dalam laporannya.

"Kami rasa apa yang mereka tidak lakukan adalah benar-benar menyelidiki isu prestasi kru penerbangan dan sama ada mereka telah bersedia secukupnya. Ia tidak menyeluruh dan teguh seperti yang sepatutnya.

Homendy berkata, NTSB tidak diberi peluang untuk menyemak atau mengulas laporan akhir Ethiopia sebelum ia diumumkan bulan lalu, pelanggaran peraturan yang diawasi oleh agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ICAO yang berpangkalan di Montreal.

"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini yang mana di bawah ICAO kami mendapat hak untuk menyemak laporan dan memberikan ulasan," katanya.

Komen NTSB yang dikeluarkan Disember lalu adalah sebagai tindak balas kepada draf awal yang disemak oleh lembaga berkenaan.

Menurut NTSB, sebelum ini pemeriksa Ethiopia yang menyiasat punca nahas Mac 2019 Ethiopian Airlines yang mengorbankan 157 orang tidak memberi perhatian yang cukup kepada latihan anak kapal dan prosedur kecemasan dalam laporan mereka.

EAIB menyalahkan kemalangan itu berpunca daripada input 'tanpa arahan' daripada Sistem Penambahan Ciri-Ciri Manuver (MCAS).

Biro itu tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

"Input yang disebabkan oleh data yang rosak dari Sensor AOA, menyebabkan muncung pesawat jatuh berulang kali.

"Perkara itu menyebabkan kehilangan kawalan ketika juruterbang cuba menangani beberapa amaran di dalam kabin," katanya dalam laporan yang dikeluarkan bulan lalu.

Menurut NTSB, penemuan laporan Ethiopia bahawa masalah elektrik pesawat menyebabkan pengeluaran AOA yang salah tidak disokong oleh bukti.

"Didapati pengesan output yang salah mungkin disebabkan oleh serangan burung sejurus selepas berlepas dari Addis Ababa.

"Melalui laporan Ethiopia mendapati dokumentasi MCAS untuk kru penerbangan adalah mengelirukan kerana Boeing telah memberikan maklumat kepada semua pengendali 737 MAX empat bulan sebelum nahas Ethiopian Airlines," katanya. - AFP

Berita Harian X