LIMA: Presiden Peru, Dina Boluarte menggesa gencatan senjata nasional dilakukan bagi menamatkan minggu yang penuh dengan pergolakan di seluruh negara berkenaan.
Sementara itu, perarakan besar turut berlaku di ibu negara berkenaan yang mendesak peletakan jawatan presiden negara itu serta mengadakan pilihan raya baharu, menyebabkan pertempuran ganas antara polis dan orang ramai.
Beribu-ribu rakyat Peru dari wilayah Andes yang berpakaian tradisional, berarak di tengah Lima sambil melaungkan 'Dina Pembunuh' dan menyalahkannya atas kematian 46 orang terutamanya penunjuk perasaan sejak protes tercetus pada bulan lalu.
Menurut wartawan AFP di tempat kejadian, perarakan berkenaan bertukar ganas apabila penunjuk perasaan yang membawa perisai logam membaling batu ke arah polis sebelum pihak polis bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata.
Ramai orang awam ditangkap dan beberapa lagi cedera termasuk dua jurugambar, seorang daripada AFP akibat terkena pelet dan batu.
Ramai rakyat Peru begitu marah terhadap penyingkiran presiden Pedro Castillo pada 7 Disember yang diberkas selepas cuba membubarkan Kongres dan pemerintahan melalui dekri.
Naib Presiden Boluarte yang sebelum ini di bawah pemerintahan Castillo, segera mengambil alih kuasa.
Protes tercetus dengan cepat, sebahagian besarnya didorong oleh kemarahan di kawasan luar bandar yang miskin di selatan negara itu di mana penduduk utamanya daripada suku kaum orang asli.
Orang asli berkenaan merasakan bahawa Castillo yang mempunyai latar belakang orang asli telah mewakili kepentingan mereka dan bukannya kepentingan elit di Lima.
Penunjuk perasaan telah mengadakan protes dan sekatan jalan selama berminggu-minggu dan juga menuntut pembubaran kongres dan penulisan semula perlembagaan.
Satu lagi hari protes telah dirancang hari ini di kebanyakan bandar di seluruh negara berkenaan.
Terdahulu, Boluarte menggesa gencatan senjata nasional dilakukan dan mewujudkan dialog bagi menetapkan agenda untuk setiap wilayah dan membangunkan bandar.
Bercakap pada sidang akhbar dengan media asing, Boluarte yang kelihatan beremosi meminta maaf beberapa kali bagi mereka yang terkorban dalam protes berkenaan dan masa yang sama beliau menolak untuk meletak jawatan.
"Saya akan pergi sebaik sahaja kita mengumumkan pilihan raya umum, saya tidak berhasrat untuk kekal berkuasa," katanya.
Di bawah perlembagaan Peru, presiden tidak boleh bertanding untuk pemilihan semula serta-merta.
Boluarte berkata, beliau pasti Kongres akan bersetuju pada untuk melakukan pilihan raya yang dijadualkan pada April 2024.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan peletakan jawatannya, Boluarte mengkritik idea bahawa ia akan menyelesaikan krisis dan keganasan.
Semalam, pihak berkuasa Peru mengumumkan bahawa lapangan terbang Cusco, pintu masuk ke tapak pelancongan Machu Pichu yang terkenal di negara itu, sekali lagi ditutup disebabkan protes di kawasan pergunungan berkenaan. - AP