Rabu, 25 Januari 2023 | 9:58am
Suspek yang melakukan tembakan rambang di sebuah kedai serbaneka menyebabkan tiga maut di Yakima, Washington. - Foto Polis Yakima/CNN
Suspek yang melakukan tembakan rambang di sebuah kedai serbaneka menyebabkan tiga maut di Yakima, Washington. - Foto Polis Yakima/CNN

Tiga maut kejadian tembakan rambang di kedai serbaneka di Washington

WASHINGTON: Tiga individu terbunuh dalam kejadian tembakan yang berlaku di sebuah kedai serbaneka di Washington awal pagi semalam, menurut polis.

Selain itu, polis mengesahkan suspek juga meninggal dunia selepas diburu selama beberapa jam.

Ketua Polis Bandar Yakima, Matt Murray berkata, pasukannya bergegas ke Circle K di bandar itu selepas mendapat panggilan kira-kira jam 3.30 pagi yang memaklumkan tiga orang terbunuh akibat ditembak.

"Tiga individu yang belum dikenal pasti identitinya ditemui mati. Dua mangsa ditembak di dalam kedai terbabit yang disyaki tembakan rambang dan seorang lagi ditemui mati di luar premis itu.

"Ia kelihatan seperti tembakan rawak, Tiada konflik yang jelas di antara mereka itu.

"Mangsa lelaki itu berjalan masuk masuk sebelum melepaskan tembakan," katanya.

Murray berkata, selepas melepaskan tembakan, suspek yang dikenal pasti sebagai Jarid Haddock, 21 berlari menyeberangi jalan dan melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan, memaksa pemandunya berpindah ke tempat duduk penumpang.

"Suspek itu kemudiannya mencuri kereta itu dan melarikan diri," katanya.

Sementara itu, selepas pemburuan selama berjam-jam, seorang saudara Haddock menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan lokasi Haddock bersembunyi.

Menurut Murray, tembakan kedengaran semasa polis menghampiri dan seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai Haddock ditemui cedera.

Katanya, tiada pegawai yang cedera atau menggunakan sebarang kekerasan.

Haddock meninggal dunia akibat kecederaannya di tempat kejadian.

Yakima adalah sebuah bandar yang didiami kira-kira 97,000 orang yang juga sebuah wilayah pertanian terkenal di Washington dengan tanaman epal dan kilang wain. - REUTERS

Berita Harian X