WASHINGTON: Pemilik Twitter, Elon Musk mengumumkan perkhidmatan langganan syarikat akan menunjukkan kurang iklan kepada pengguna, termasuk peringkat tanpa iklan.
Pengumuman itu dibuat ketika rangkaian sosial itu menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang besar sejak diambil alih oleh Musk pada Oktober lalu.
"Iklan terlalu kerap di Twitter dan terlalu besar. Langkah akan diambil untuk menangani kedua-duanya dalam minggu-minggu akan datang.
"Dan bagi mereka yang memilihnya, akan ada langganan dengan harga yang lebih tinggi yang membolehkan sifar iklan," dalam ciapan Musk, semalam.
Perkara itu akan menjadi perubahan radikal dalam model perniagaan Twitter, yang setakat ini bergantung pada pengiklanan yang disasarkan untuk menjana pendapatan, sebelum melancarkan perkhidmatan langganan berbayar pada pertengahan Disember.
Tetapi ia menjadi tanda tanya kepada Twitter sejak kebelakangan ini selepas Musk memecat kira-kira separuh daripada 7,500 tenaga kerja syarikat itu lewat tahun lalu.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan bahawa syarikat itu tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk melaksanakan penyederhanaan kandungan serta pengiklanan yang keterlaluan.
Musk berkata, strateginya adalah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran sambil membina hasil dan perkhidmatan langganan baharu yang dipanggil Twitter Blue.
Twitter Blue itu akan memberikan pengguna tanda pengesahan biru yang dicari dengan bayaran sekali gus membantu mencapai matlamat itu.
Perkhidmatan itu berharga AS$11 (RM47) sebulan di Amerika Syarikat (AS) dan boleh didapati pada sistem pengendalian mudah alih iOS Apple dan Android Google, menurut halaman di laman web syarikat itu.
Langganan web juga tersedia dengan harga AS$8 (RM34) sebulan atau dengan diskaun, AS$84 (RM360) setahun dan tersedia di AS, Kanada, Britain, New Zealand, Australia dan Jepun.
Dilaporkan, selepas Twitter diterajui Musk, rangkaian sosial itu dirundung huru-hara, dengan pemberhentian beramai-ramai, pengembalian akaun yang diharamkan dan penggantungan wartawan yang mengkritik jutawan kelahiran Afrika Selatan itu.
Pengambilalihan Musk juga menyaksikan lonjakan dalam tweet perkauman atau kebencian, menarik perhatian daripada pengawal selia dan menghilangkan pengiklan besar, sumber pendapatan utama Twitter. - AFP