LOS ANGELES: Subvarian Omicron baharu XBB.1.5 dianggarkan menyumbang sebanyak 49.1 peratus kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS).
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, anggaran itu adalah bagi minggu berakhir 21 Januari.
Subvarian XBB.1.5 menular dengan pantas di AS dan menyumbang 35.5 peratus daripada jumlah kes pada minggu berakhir 7 Januari lalu serta meningkat kepada 37.2 peratus pada minggu seterusnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketika ini XBB.1.5 adalah varian yang paling mudah berjangkit.
Subvarian itu mungkin mendorong lebih banyak kes COVID-19 berdasarkan ciri genetik dan anggaran kadar pertumbuhan awal dua lagi subvarian Omicron yang dominan iaitu BQ.1 dan BQ.1.1 menyumbang kira-kira 40 peratus kes baharu COVID-19 di AS pada minggu ini.
Menurut anggaran terkini dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS semalam, terdapat sekurang-kurangnya 25 juta pesakit, 270,000 dimasukkan ke hospital dan 17,000 kematian akibat selesema setakat musim ini di AS.
Lebih 6,300 orang dimasukkan ke hospital akibat selesema di AS pada minggu terbaru berakhir pada 14 Januari lalu.
Enam kematian kanak-kanak berkaitan influenza dilaporkan minggu ini dengan 85 kematian selesema kanak-kanak dilaporkan setakat musim ini.
CDC menggesa orang ramai untuk mendapatkan suntikan selesema setiap tahun bagi mencegah jangkitan dan kesan buruk. - AGENSI