Ahad, 15 Januari 2023 | 2:51pm
Langkah darurat itu berkuat kuasa selama 30 hari, memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi mengekalkan ketenteraman. - Foto AP
Langkah darurat itu berkuat kuasa selama 30 hari, memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi mengekalkan ketenteraman. - Foto AP

Peru isytihar darurat di Lima susulan protes berlarutan beberapa minggu

LIMA: Kerajaan Peru lewat semalam mengisytiharkan darurat di ibu negara Lima serta tiga wilayah lain berikutan protes terhadap Presiden Dina Boluarte yang sehingga kini meragut sekurang-kurangnya 42 nyawa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Langkah itu berkuat kuasa selama sebulan, memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi mengekalkan ketenteraman dan menggantung beberapa hak Perlembagaan seperti kebebasan bergerak dan berhimpun, menurut dekri yang diterbitkan dalam warta rasmi.

Selain ibu negaranya, perintah darurat itu meliputi wilayah Cusco dan Puno serta pelabuhan Callao yang terletak bersebelahan dengan Lima.

Lebih 100 sekatan jalan raya dilakukan bertujuan menghalang pergerakan lalu lintas di seluruh Peru semalam, terutama di kawasan selatan, yang menjadi pusat protes selain di sekitar Lima.

Pihak berkuasa bagaimanapun, membuka semula operasi lapangan terbang antarabangsa Cusco, berikutan ia penting untuk sektor pelancongan Peru.

Demonstrasi besar-besaran antikerajaan mula tercetus awal bulan lalu, selepas presiden ketika itu Pedro Castillo digulingkan daripada jawatan kerana cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri, yang mana ia juga bertujuan menghalang undian pemecatannya.

Penyokong Castillo berarak dan menghalang jalan di sekitar negara Amerika Selatan itu menuntut pilihan raya baharu dan penyingkiran pemimpin semasa, Boluarte.Presiden Boluarte, yang berasal dari parti berhaluan kiri yang sama dengan Castillo bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan berundur.

Peru mengalami ketidakstabilan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Boluarte, 60, pemimpin yang memegang jawatan presiden yang keenam dalam tempoh lima tahun.

Castillo, yang kini sedang disiasat dalam beberapa kes penipuan semasa memegang jawatan, direman dalam tahanan selama 18 bulan, telah didakwa melakukan pemberontakan. - AFP

Berita Harian X