WASHINGTON: Kentucky menyertai lebih 20 negeri Amerika Syarikat (AS) mengharamkan aplikasi video popular TikTok pada peranti kerajaan atas alasan kebimbangan keselamatan siber.
Kerajaan negeri berkata, ia telah mengemas kini buku panduan pekerjanya untuk menghalang pekerja negeri daripada menggunakan peranti yang diuruskan kerajaan untuk mengakses aplikasi milik China 'selain untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang'.
Khamis lalu, gabenor Wisconsin dan North Carolina menandatangani perintah melarang TikTok pada peranti kerajaan.
Ohio, New Jersey dan Arkansas juga mengambil tindakan serupa awal minggu ini.
Beberapa negeri telah bertindak lebih jauh daripada menyasarkan TikTok.
New Jersey dan Wisconsin misalnya turut mengharamkan vendor, produk dan perkhidmatan daripada syarikat China lain termasuk Huawei Technologies, Hikvision, Tencent Holdings - pemilik WeChat, ZTE Corp serta Kaspersky Lab yang berpangkalan di Russia.
TikTok berkata, ia 'kecewa kerana begitu banyak negeri mengambil langkah politik untuk menggubal dasar yang tidak akan berbuat apa-apa untuk memajukan keselamatan siber di negeri mereka dan berdasarkan kepalsuan yang tidak berasas mengenai TikTok'.
Kebanyakan negeri setakat ini bertindak berdasarkan kuasa gabenor Republikan, tetapi Wisconsin, North Carolina dan Kentucky semuanya mempunyai gabenor Demokrat.
Seruan untuk mengharamkan TikTok daripada peranti kerajaan mendapat sambutan hangat selepas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS, Christopher Wray berkata pada November ia menimbulkan risiko keselamatan negara.
Wray mengingatkan bahawa ancaman kerajaan China boleh memanfaatkan aplikasi untuk mempengaruhi pengguna atau mengawal peranti mereka.
Selama tiga tahun, TikTok - yang mempunyai lebih 100 juta pengguna - telah berusaha untuk memastikan Washington bahawa data peribadi warga AS tidak boleh diakses dan kandungannya tidak boleh dimanipulasi oleh Parti Komunis China atau mana-mana entiti lain di bawah pengaruh Beijing.
Bulan lalu, Presiden Joe Biden menandatangani rang undang-undang pembiayaan kerajaan yang termasuk larangan ke atas pekerja persekutuan daripada menggunakan atau memuat turun TikTok pada peranti milik kerajaan.
Undang-undang memberikan Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) Rumah Putih 60 hari 'untuk membangunkan piawaian dan garis panduan untuk agensi eksekutif yang memerlukan penyingkiran' TikTok daripada peranti persekutuan. - REUTERS