WASHINGTON: Ahli Parlimen Demokrat hari ini meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membatalkan visa bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro, dan mengusirnya pulang.
Mereka menegaskan AS tidak seharusnya menawarkan perlindungan kepada sesiapa yang terbabit dalam rusuhan yang cuba menggugat kerajaan baharu Brazil yang dipilih rakyat.
Bolsonaro, yang juga sekutu rapat bekas Presiden AS, Donald Trump, terbang ke Florida untuk mengelak daripada menghadiri istiadat serah jawatan kepada presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva, yang berlangsung pada 1 Januari lalu.
Beliau sebaliknya membuat dakwaan tidak berasas mencabar kesahihan pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada Oktober lalu.
Ahad lalu, berlaku rusuhan di Brasilia dengan kumpulan perusuh menyokong Bolsonaro menyerbu, merosakkan istana Presiden dan institusi lain, sama seperti kes serangan penyokong Trump pada 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol di Washington, AS.
"Kami mengetahui kesan tindakan ini, baik untuk jangka pendek atau jangka panjang, kerana pernah melaluinya sendiri, apabila pegawai kerajaan mencabar norma demokrasi, menyebarkan maklumat salah dan mencetuskan keganasan.
"Kita tidak boleh membenarkan Bolsonaro atau mana-mana bekas pegawai Brazil lain berlindung di AS untuk melarikan diri daripada keadilan atas sebarang jenayah yang mungkin mereka lakukan ketika memegang jawatan," menurut kenyataan ditandatangani 41 ahli Demokrat.
Antara Ahli Parlimen yang membuat gesaan itu adalah pemimpin progresif terkemuka, Joaquin Castro dan Ahi Parlimen Demokrat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Gregory Meeks.
Mereka menggesa pentadbiran Biden untuk menilai sama ada lawatan Bolsonaro ke AS kekal sah, kerana dia mungkin memasuki AS dengan visa pelawat rasmi walaupun tidak lagi memegang jawatan Presiden.
Kumpulan Ahli Parlimen itu turut meminta Jabatan Kehakiman mengenal pasti sesiapa di Florida yang terbabit dalam salah laku dan 'mungkin membiayai atau menyokong jenayah kekerasan pada 8 Januari lalu'.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, ketika ditanya pada sidang akhbar semalam mengenai kehadiran Bolsonaro, berkata AS tidak menerima sebarang permintaan daripada Brazil tetapi akan bertindak balas 'dengan segera', jika ada permintaan.
"Berkenaan dengan individu, kita sekarang bercakap mengenai orang yang memiliki kewarganegaraan persendirian dan memasuki negara ini sebagai pelancong.
"Adalah tidak wajar kami ulas mengenai status visa mana-mana individu. Kami berdiri teguh kepada demokrasi Brazil dan institusinya," katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, Biden akan meneruskan kerjasama erat dengan Lula yang akan melawat Washington bulan depan.
Sementara itu, dalam temubual Bolsonaro dengan CNN Brasil, beliau memaklumkan merancang untuk pulang semula ke Brazil pada penghujung Januari ini.
Namun mungkin akan ada perubahan berikutan masalah kesihatannya kerana Bolsonaro dimasukkan ke hospital sebelum ini berikutan masalah berkaitan kecederaan susulan serangan menggunakan pisau pada 2018. - AFP