LIMA: Protes anti kerajaan yang berlanjutan selama sebulan dan mengakibatkan 48 orang terbunuh setakat ini, merebak ke wilayah Andean dengan pertempuran baharu dilaporkan di bandar pelancongan Cusco.
Pegawai kesihatan di Cusco berkata, 37 orang awam dan enam pegawai polis cedera selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu lapangan terbang di bandar itu, ketika ramai pelancong asing tiba untuk melawat tarikan arkeologi seperti kubu Inca Machu Picchu.
Penunjuk perasaan melakukan protes dan sekatan jalan raya di 41 wilayah, terutama di bahagian selatan Peru bagi menuntut pengunduran Presiden, Dina Boluarte, dan tanda sokongan kepada bekas Presiden yang digulingkan, Pedro Castillo.
Protes yang semakin meluas itu bermula awal bulan lalu selepas Castillo disingkirkan kerana cuba membubarkan Kongres dan memerintah secara dekri.
Tunjuk perasaan kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar yang diabaikan kerajaan dengan penduduknya masih setia kepada pemerintahan Castillo.
Mereka menuntut pilihan raya dilangsungkan segera, mendesak peletakan jawatan Boluarte, pembebasan Castillo dan keadilan bagi penunjuk perasaan yang terbunuh dalam pertempuran dengan polis.
Semalam, pihak berkuasa kesihatan di Cusco berkata, orang awam yang terkoban dalam insiden itu ditembak menggunakan senjata api.
Sebelum ini, Pejabat Ombudsman Peru berkata, 39 orang awam terbunuh dalam pertempuran dengan polis dan tujuh lagi maut dalam kemalangan jalan raya susulandengan sekatan jalan raya, termasuk dalam kalangan anggota polis.
Menurutnya, angka kematian semalam meningkat kepada 48 orang. - AP