WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam berikrar mematuhi perjanjian pertahanan dengan Jepun untuk mengerahkan tenteranya bagi mempertahankan wilayah Jepun, ketika ancaman China semakin memuncak di rantau itu.
Antara lain, AS akan menempatkan lebih banyak pasukan tentera Marin di Jepun untuk dikerah mempertahankan wilayah berkenaan sekiranya wujud ancaman daripada China.
Beberapa minggu selepas mendedahkan rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan keselamatan, Jepun menghantar Menteri Pertahanan serta Menteri Luar ke Washington dan kedua-dua negara mengeluarkan kenyataan berikrar untuk 'memodenkan pakatan bagi menangani persekitaran keselamatan yang semakin teruk'.
Kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Keselamatan AS-Jepun, di Washington AS hari ini.
Rundingan itu dibuat dua hari sebelum lawatan Perdana Menteri, Fumio Kishida, yang sedang menjelajah Kumpulan Tujuh Negara (G7) bagi memulakan tahun kepimpinan Jepun dalam pertubuhan elit itu dan beliau turut meningkatkan hubungan pertahanan dengan Britain, di London, awal semalam.
Ketika China membuat kemajuan pesat dalam teknologi satelit, AS dan Jepun memberi amaran bahawa 'serangan ke arah, dari atau di angkasa ditakrifkan sebagai cabaran terbuka lagi jelas terhadap permuafakatan AS-Jepun'.
Justeru, kedua-dua negara boleh merujuk kepada Artikel 5 perjanjian pertahanan bersama, yang menjelaskan bahawa serangan terhadap satu pihak (Jepun) bermakna serangan terhadap pihak yang satu lagi (AS) juga.
Rundingan itu memuktamadkan rancangan AS untuk menghantar Rejimen Litoral Marin, unit lebih tangkas yang boleh mengendalikan pertahanan baik melalui laut mahu pun udara, ke Okinawa, pulau selatan Jepun yang terletak berhampiran dengan Taiwan.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, berkata unit itu akan disiapkan menjelang 2025 daripada penyusunan semula rejimen artileri sedia ada.
"Saya fikir ini akan menyumbang secara besar dalam usaha kami untuk membantu mempertahankan Jepun dan juga mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas lagi terbuka," kata Austin, menggunakan ungkapan AS untuk Asia tanpa dominasi China.
Beliau mengulangi komitmen AS untuk mempertahankan Jepun termasuk pulau kecil, yang dikenali sebagai Senkaku oleh Tokyo dan Diaoyu oleh Beijing, yang mahu dimiliki China. - AFP