Rabu, 11 Januari 2023 | 8:50am
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (kiri) dan bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro (kanan). - Foto AP
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (kiri) dan bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro (kanan). - Foto AP
Seorang lelaki mengambil gambar kenderaan yang dirosakkan di luar bangunan Mahkamah Agung di Brasilia. - Foto AFP
Seorang lelaki mengambil gambar kenderaan yang dirosakkan di luar bangunan Mahkamah Agung di Brasilia. - Foto AFP

Kehadiran Bolsonaro di Florida janggal untuk dasar demokrasi Biden

WASHINGTON: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang berada di Florida sewaktu penyokong merusuh di negaranya, ternyata menjadi kejanggalan untuk Amerika Syarikat (AS) disebabkan ikrar memperjuangkan demokrasi Presiden AS, Joe Biden sebelum ini.

Sejak beberapa dekad lalu, Florida menjadi lokasi bagi pemimpin sayap kanan dari negara Amerika Latin itu berlindung dan menjadi 'negeri angkat' bekas presiden AS, Donald Trump, juga sahabat politik Bolsonaro yang kecundang dalam pemilihan.

Rusuhan di Brasilia sejak Ahad lalu itu mengingatkan kembali serangan pada 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol AS.

Penyokong Bolsonaro mengepung istana presiden, Kongres dan Mahkamah Agung selama empat jam, menggesa tentera campur tangan menghentikan pentadbiran Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, yang dilantik pada 1 Januari lalu.

Ia menarik perhatian Biden, yang kemudiannya menawarkan 'sokongan tidak berbelah bahagi' kepada demokrasi Brazil menerusi panggilan telefon, malah menjemput Lula ke Rumah Putih.

Namun, beberapa ahli Parlimen sayap kiri di AS dan Brazil mahukan lebih daripada itu iaitu menggesa AS mengusir Bolsonaro dari Florida.

"Pengganas domestik dan fasis tidak boleh dibenarkan menggunakan strategi atau muslihat politik Trump untuk menjejaskan demokrasi.

"Bolsonaro tidak boleh diberi perlindungan di Florida, tempat dia bersembunyi daripada akauntabiliti atas jenayah yang dilakukannya," tulis wakil AS, Joaquin Castro, di Twitter.

Jake Sullivan, penasihat keselamatan negara AS, juga berkata AS tidak menerima sebarang permintaan daripada Brazil mengenai Bolsonaro tetapi akan menganggapnya sebagai 'serius'.

"Kejanggalan adalah perkara biasa. Apa yang berlaku di Brazil menarik AS ke dalam perbualan ini kerana Presiden Bolsonaro berada di sini," kata Valentina Sader, pengarah bersekutu Pusat Amerika Latin Majlis Atlantik.

Namun, kata Sader, ketiadaan Bolsonaro di Brazil menguntungkan Lula, yang boleh mendapat manfaat menerusi perpaduan kerana rakyat Brazil merentasi spektrum politik mengecam serangan itu.

Kata Sader, Biden selepas mengalahkan Trump, berikrar untuk menggalakkan demokrasi dan serangan ke atas Brazil itu boleh menjadikan Lula lebih daripada sekutu kerana kedua-duanya mampu berkongsi pengalaman.

Berbeza dengan Trump, Bolsonaro dilihat lebih merendah diri di Florida kerana dia dikesan hanya makan bersendirian di restoran Kentucky Fried Chicken malah tinggal berhampiran Disney World di rumah bekas juara seni mempertahankan diri Brazil, Jose Aldo, di Orlando.

Bolsonaro turut menggunakan Twitter untuk mengutuk 'serangan' ke atas bangunan awam.

Dalam temu bual dengan CNN Brazil, dia mengesahkan rancangan untuk kembali pada penghujung Januari dan ingin pulang lebih awal tetapi terbantut selepas rawatan kesihatan kerana kecederaan yang berkaitan dengan serangan tikaman pada 2018, di hospital Orlando, kelmarin

Meskipun beliau tidak merancang untuk mengasingkan diri, Bolsonaro, yang sering dipanggil 'Trump Tropika' dilihat turut menemui pengikut di Florida, yang menjadi rumah kepada hampir satu perempat daripada rakyat Brazil di AS, yang dia pernah beliau lawati pada 2020 dan 2022 ketika memegang jawatan presiden. - AFP

Berita Harian X