Jumaat, 6 Januari 2023 | 2:48pm
Ketua Republikan, Kevin McCarthy, bercakap kepada media ketika meninggalkan Dewan Perwakilan selepas pengundian bagi pemilihan Speaker Dewan masih buntu. - Foto EPA
Ketua Republikan, Kevin McCarthy, bercakap kepada media ketika meninggalkan Dewan Perwakilan selepas pengundian bagi pemilihan Speaker Dewan masih buntu. - Foto EPA

Republikan tolak gesaan Trump berhubung pemilihan Speaker Dewan Perwakilan

WASHINGTON: Parti Republikan gagal dalam pemilihan Speaker Dewan Perwakilan buat hari kedua berturut-turut semalam.

Sekumpulan ahli parti itu kekal menolak gesaan mantan presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk bersatu di belakang sekutunya, Kevin McCarthy.

Selepas tiga undian yang gagal dan satu pusingan rundingan tertutup, McCarthy masih kelihatan sukar untuk mendapatkan jawatan Speaker Dewan, jawatan kedua tertinggi selepas presiden negara itu.

Penggubal undang-undang mengundi untuk pulang ke rumah malam kelmarin dan akan cuba lagi pada lewat malam tadi, namun tiada kemajuan dicapai.

Kebuntuan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan parti Republikan untuk mentadbir dalam tempoh dua tahun akan datang kerana mereka masih gagal bersepakat bagi apa yang biasanya adalah undian rutin pada permulaan sesi perundangan.

Ahli Dewan mesti menamakan pemimpin terlebih dulu sebelum mengangkat sumpah ahli individu dan menjalankan hal ehwal perundangan.

McCarthy, dari California, berkhidmat sebagai pemimpin tertinggi Dewan Republikan sejak 2019 dan mengetuai usaha partinya untuk menguasai Dewan dalam pilihan raya pertengahan 2022.

Malangnya, beliau gagal dalam enam undian berturut-turut dalam tempoh dua hari, kerana sekumpulan 20 ahli konservatif Republikan menganggapnya tidak boleh dipercayai secara ideologi.

Justeru, mereka enggan menyokongnya, menyebabkan McCarthy kekurangan 218 undi yang diperlukan untuk memenangi jawatan itu manakala penyokong McCarthy yang sedia ada kini semakin kecewa.

Pertarungan kepimpinan itu adalah permulaan yang mengecewakan bagi majoriti Republikan baru di Dewan selepas parti itu berjaya memperoleh majoriti tipis 222-212 pada pilihan raya November 2022.

Perjuangan dalaman menggariskan cabaran yang mungkin dihadapi parti dalam tempoh dua tahun akan datang, menuju pilihan raya presiden 2024.

Kali terakhir Dewan gagal memilih Speaker pada sesi undian pertama adalah pada 1923, semasa pertandingan yang mengambil sembilan sesi undian untuk diselesaikan.

Namun, McCarthy berkata beliau sedang membuat kemajuan.

"Saya tidak fikir pengundian malam ini membawa sebarang perbezaan, tetapi saya fikir akan ada perubahan dalam pengundian seterusnya," katanya kepada pemberita.

Penyokongnya berharap undian berulang akan melemahkan pihak lawan tetapi sebaliknya, semakin lama tiada kemajuan dicapai, kepercayaan Republikan terhadap potensi kejayaan McCarthy nampaknya semakin lemah. - REUTERS

Berita Harian X