WASHINGTON: Sidang Kongres Amerika Syarikat (AS) kecoh apabila parti Republikan berhaluan kanan membangkang Kevin McCarthy dicalonkan menjadi Speaker, selepas beberapa siri undian yang memalukan.
Ini adalah pertama kali dalam tempoh seabad Republikan gagal memilih Speaker walaupun diadakan tiga pusingan undian yang mendapat liputan menyeluruh di semua rangkaian televisyen AS selain terpaksa menunggu sesi lain bagi memilih Speaker.
Anggota Kongres California berusia 57 itu memerlukan majoriti mudah untuk dipilih sebagai penggubal undang-undang tertinggi Washington, yang mengetuai perniagaan Perwakilan dan berada di barisan kedua selepas jawatan presiden.
McCarthy memerlukan 218 undi di dewan rendah, yang bertukar kepada majoriti kecil Republikan 222-212 selepas pilihan raya pertengahan tahun lalu.
Bagaimanapun, McCarthy gagal mendamaikan pemberontak parti, termasuk beberapa sekutu berprofil tinggi bekas presiden Donald Trump, dan dikejutkan dengan 19 undi 'tidak menyokong' dari pihaknya sendiri dalam dua pusingan pertama, meningkat kepada 20 undi menolak dalam pusingan ketiga.
Prestasinya dilihat sangat lemah sehingga tewas kepada pemimpin minoriti Demokrat, Hakeem Jeffries dalam setiap tiga undian pembukaan.
McCarthy disifatkan sudah lama inginkan jawatan itu selepas menarik diri pada 2015, ketika skandal beberapa kesilapan dan pemberontakan sayap kanan.
Kali ini dia sekali lagi 'tersungkur' angkara pemberontak sayap kanan, walaupun sedia tunduk kepada gesaan mereka untuk menolak penyiasatan agresif Demokrat termasuk tuduhan terhadap Presiden AS, Joe Biden, selepas mengambil alih Dewan.
Berikutan itu, penggubal undang-undang bersetuju untuk menangguhkan seketika pemilihan itu.
Sebelum ini, kali terakhir undian melebihi satu pusingan ialah pada 1923. Satu proses pemilihan Speaker pada 1855 mengambil 133 pusingan pengundian selama dua bulan.
Dewan dijangka mengadakan undian selanjutnya hari ini sehingga seseorang muncul dengan majoriti.
Antara penghalang jalan kepada pemilihan McCarthy ialah persepsi sesetengah pihak di sebelah kanan partinya bahawa dia tidak cukup setia kepada Trump, yang bertanding semula untuk Rumah Putih selepas tewas kepada Biden pada 2020. - AFP