Sabtu, 31 Disember 2022 | 7:43pm
Jururawat melakukan ujian COVID-19 di Jabatan Kesihatan Salt Lake di Salt Lake City, Amerika Syarikat (AS), yang turut menyaksikan peningkatan jangkitan selesema dan influenza. - Foto AP
Jururawat melakukan ujian COVID-19 di Jabatan Kesihatan Salt Lake di Salt Lake City, Amerika Syarikat (AS), yang turut menyaksikan peningkatan jangkitan selesema dan influenza. - Foto AP

Sub varian Omicron punca lebih 40 peratus kes COVID-19 di AS

LOS ANGELES: Kira-kira 40.5 peratus kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) adalah berpunca daripada sub varian Omicron baharu XBB.1.5, sekali gus memperlihatkan peningkatan dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

Menurut data yang dikemas kini sehingga semalam oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, jumlah jangkitan itu direkodkan hanya dalam tempoh tujuh hari minggu ini.

Ini bermakna, varian XBB.1.5 menyumbang hingga 21.7 peratus daripada keseluruhan kes bagi minggu terdahulu yang berakhir 24 Disember.

Mutasi lanjutan varian BA.2, XBB dan XBB.1.5 bersama-sama menyumbang 44.1 peratus daripada jumlah kes di negara ini pada minggu berakhir pada 31 Disember, lapor data CDC.

Varian XBB meningkatkan kes di beberapa bahagian di Asia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap penularan yang tinggi.

Sementara itu, dua lagi subvarian Omicron BQ.1 dan BQ.1.1 menyumbang kira-kira 45 peratus daripada kes COVID-19 baharu di AS pada minggu terbaru, menurut data yang dikemukakan CDC.

Dalam perkembangan lain, AS turut merekodkan sekurang-kurangnya 20 juta jangkitan berkaitan selesema, dengan 210,000 daripadanya dimasukkan ke hospital dan 13,000 kematian pada musim ini, menurut anggaran terkini CDC AS, setakat semalam.

Menurut CDC, jangkitan penyakit akibat influenza bermusim kekal tinggi tetapi terus menurun di kebanyakan kawasan.

Katanya, lebih 18,000 orang dimasukkan ke hospital akibat selsema di AS pada minggu berakhir 24 Disember lalu, menerusi data yang ditunjukkan CDC.

Sebanyak 14 kematian kanak-kanak berkaitan influenza dilaporkan minggu ini daripada sejumlah 61 kematian selesema kanak-kanak yang dilaporkan setakat musim ini.

CDC menggesa orang ramai supaya mendapatkan vaksin selsema secara tahunan untuk mengelakkan jangkitan dan kesan serius. - AGENSI

Berita Harian X