WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa sebuah pesawat tentera China minggu lalu menghampiri sehingga jarak tiga meter dari pesawatnya di Laut China Selatan yang sedang dipertikaikan.
Susulan tindakan itu, tentera AS semalam menegaskan anggotanya terpaksa melakukan pergerakan bagi mengelakkan perlanggaran di ruang udara antarabangsa.
AS menyifatkan tindakan pesawat tentera China ia sebagai trend tindakan semakin berbahaya sejak kebelakangan ini. Kes membabitkan jet pejuang J-11 Tentera Laut China dan pesawat RC-135 tentera udara AS itu berlaku pada 21 Disember lalu.
"Kami harapkan semua negara di rantau Indo-Pasifik menggunakan ruang udara antarabangsa dengan selamat dan mematuhi undang-undang antarabangsa," kata tentera AS dalam kenyataan.
Jurucakap tentera AS berkata, jet China itu datang dalam jarak tiga meter dari sayap pesawat, tetapi enam meter dari bahagian hadapan badan pesawat, memaksa pesawatnya melakukan gerakan mengelak.
Terdahulu, menurut seorang pegawai lain, AS sudah membangkitkan isu itu dengan kerajaan China.
Sehingga kini, Kedutaan China di Washington DC tidak memberikan sebarang maklum balas ketika media memintanya memberikan ulasan.
Untuk rekod, China sebelum ini pernah mengatakan tindakan AS menghantar kapal dan pesawat ke Laut China Selatan adalah tidak baik untuk keamanan.
Pesawat dan kapal tentera AS secara rutin menjalankan operasi pengawasan serta kerap mengembara melalui rantau ini.
China menuntut kawasan luas Laut China Selatan yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Vietnam, Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina.
Bertrilion dolar nilai dagangan laut keluar masuk setiap tahun melalui laluan lautan itu, yang turut merangkumi kawasan penangkapan ikan yang kaya dan simpanan gas asli.
Dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China bulan lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, membangkitkan keperluan untuk meningkatkan komunikasi krisis, selain turut menyatakan apa yang disifatkannya sebagai tingkah laku berbahaya oleh pesawat tentera China.
Di sebalik ketegangan antara AS dan China, pegawai tentera AS sudah lama berusaha mengekalkan talian komunikasi terbuka dengan rakan sejawatan mereka dari China untuk mengurangkan risiko potensi kebakaran atau menangani sebarang kemalangan.
Sementara itu, Jabatan Pertahanan Australia pada Jun lalu mengatakan, pesawat pejuang China secara berbahaya memintas pesawat pengawasan tentera Australia di wilayah Laut China Selatan kira-kira sebulan sebelum itu.
Australia berkata, jet China itu terbang dekat di hadapan pesawat RAAF dan melepaskan jalur aluminium kecil, yang dikenali sebagai sekam (chaff), yang diserap ke dalam enjin pesawat Australia itu.
Pada Jun lalu, tentera Kanada menuduh pesawat perang China mengganggu pesawat peronda ketika mereka memantau elakkan sekatan Korea Utara, sehingga kadang kala memaksa pesawat Kanada melencong dari laluan penerbangan mereka.
Hubungan antara China dan AS menjadi tegang, dengan pergeseran antara dua ekonomi terbesar dunia itu berhubung segala-galanya daripada Taiwan dan rekod hak asasi manusia China hinggalah kepada kegiatan ketenteraannya di Laut China Selatan.
Lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi, ke Taiwan pada Ogos menimbulkan kemarahan China, yang melihatnya sebagai percubaan AS untuk campur tangan dalam hal ehwal dalamannya.
China kemudian melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran berhampiran pulau itu.
Untuk rekod, AS tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan tetapi terikat oleh undang-undang untuk menyediakan pulau itu dengan cara sekali pun untuk mempertahankan dirinya. - REUTERS