NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan pihaknya tidak akan berhenti memberikan bantuan kepada Afghanistan walaupun Taliban mengharamkan wanita bekerja dalam sektor bantuan negara itu.
"PBB dan rakan misi kemanusiaan sangat komited dalam penyampaian perkhidmatan menyelamatkan nyawa rakyat Afghanistan," kata Penyelaras Residen PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov, kepada pemberita.
Bercakap selepas Kumpulan Tujuh (G7) mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan tindakan keras Taliban sebagai melulu dan berbahaya, Alakbarov berkata keperluan kemanusiaan Afghanistan adalah sangat besar.
"Kami tidak percaya bahawa tindakan kemanusiaan yang menyeluruh boleh dilakukan tanpa penyertaan wanita," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata adalah penting untuk mereka terus kekal dan menyelesaikan misi bantuan.
"Bantuan tidak pernah bersyarat. Anda tidak boleh menetapkan syarat untuk menyediakan makanan atau bantuan kesihatan kepada orang yang kelaparan, atau orang yang hampir mati."
Beliau berkata Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB dan pegawai PBB yang lain akan melawat Afghanistan dalam beberapa minggu akan datang untuk membincangkan situasi itu dengan pemerintah Taliban yang juga baru-baru ini melarang wanita melanjutkan pengajian di universiti.
"Saya percaya daripada interaksi saya dengan Taliban, cara terbaik untuk mendapatkan penyelesaian bukanlah tekanan. Ia adalah dialog. Pergerakan ini tidak bertindak balas dengan baik kepada tekanan pada masa lalu."
Pegawai PBB telah pun mengadakan beberapa perbincangan konstruktif dengan pihak berkuasa Taliban mengenai situasi itu, katanya, memetik perbincangan dengan Menteri Kesihatan.
"Jelas sekali penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan tidak akan dapat dilakukan tanpa kakitangan perubatan," katanya.
Beliau berkata menteri bersetuju bahawa tidak perlu ada halangan, dan penyedia perkhidmatan wanita boleh kembali bekerja.
"Kami bekerja di bawah satu perkara dan itu adalah satu penyelesaian dan mendapatkan rundingan supaya wanita boleh kembali bekerja dan kanak-kanak perempuan boleh kembali ke sekolah, berdasarkan pemahaman bahawa ini adalah hak yang sangat penting bagi orang lain," kata Alakbarov.
"Kita perlu fokus untuk mencari penyelesaian." - AFP