WASHINGTON: Bekas Presiden Donald Trump perlu berdepan tuduhan jenayah menghasut rusuhan maut, menurut laporan akhir panel siasatan serangan ke atas bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS) pada 6 Januari 2021.
Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan turut mendedahkan transkrip beberapa temu bual dan keterangan saksi pada Khamis dan Rabu.
Laporan setebal lebih 800 muka surat itu berdasarkan hampir 1,200 temu bual selama 18 bulan dan ratusan ribu dokumen, serta keputusan lebih 60 mahkamah persekutuan dan negeri.
Menurut ringkasan eksekutif dikeluarkan awal minggu ini, ia menyenaraikan 17 penemuan khusus, membincangkan implikasi undang-undang terhadap tindakan oleh Trump dan beberapa sekutunya dan termasuk rujukan jenayah kepada Jabatan Kehakiman dan individu lain.
Laporan itu juga menyenaraikan syor perundangan untuk membantu mengelak serangan sedemikian.
Isnin lalu, jawatankuasa itu meminta pendakwa raya persekutuan mendakwa bekas presiden Republikan itu dengan empat jenayah, termasuk halangan dan pemberontakan yang didakwa sebagai usaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya November 2020 dan mencetuskan serangan ke atas kerusi kerajaan.
Dalam komen yang disiarkan di rangkaian Truth Social selepas laporan akhir dikeluarkan, Trump menggelarnya sebagai 'sangat partisan' dan 'pemburuan ahli sihir'.
Beliau berkata, laporan itu gagal untuk mengkaji sebab protes (pada 6 Januari) penipuan pilihan raya.
Bagaimanapun, permintaan oleh panel pimpinan Demokrat kepada Jabatan Kehakiman itu tidak memaksa pendakwa raya persekutuan untuk bertindak, tetapi sekiranya ia berlaku, ia menandakan kali pertama dalam sejarah bahawa Kongres merujuk bekas presiden untuk pendakwaan jenayah.
Trump pada November mengumumkan beliau akan bertanding semula sebagai Presiden AS.
Antara transkrip yang dikeluarkan adalah arahan bekas peguam kepada bekas pembantu Rumah Putih, Cassidy Hutchinson supaya 'meremehkan' pengetahuannya mengenai peristiwa yang membawa kepada rusuhan Capitol dengan menyatakan 'semakin kurang anda ingat, lebih baik'.
Menurut transkrip keterangannya, peguam Stefan Passantino menasihatkan Hutchinson supaya tidak mengingati peristiwa tertentu.
Trump memberikan ucapan berapi-api kepada penyokongnya berhampiran Rumah Putih pada pagi 6 Januari 2021 dan secara terbuka menghukum naib presidennya, Mike Pence, kerana tidak mengikut rancangannya untuk menolak undi yang dibuat untuk Demokrat, Joe Biden.
Bekas presiden itu kemudiannya menunggu berjam-jam untuk membuat kenyataan awam ketika ribuan penyokongnya mengamuk menyerang polis dan mengancam untuk menggantung Pence.
Keputusan pilihan raya 2020 disahkan oleh Pence dan penggubal undang-undang sewaktu Capitol diserang selepas beberapa minggu dakwaan palsu oleh Trump bahawa beliau memenangi pilihan raya itu. - REUTERS