SAN FRANCISCO: Twitter mengumumkan beberapa lagi perubahan dasar sejak syarikat media sosial itu diambil alih oleh pemilik baharu, Elon Musk, dengan tidak lagi membenarkan penggunanya mempromosikan akaun media sosial lain termasuk Facebook dan Instagram.
Langkah itu yang turut memberi kesan pada Mastodon, Post dan Truth Social serta media sosial pengagregat capaian pihak ketiga seperti linktr.ee serta ink.bio, dilaksanakan selepas pengguna Twitter mula menggalakkan pengikut mereka melihat hantaran di media sosial lain susulan perubahan di platform media sosial.
"Menuju ke hadapan, Twitter tidak lagi akan membenarkan promosi percuma platform media sosial secara spesifik.
"Pada peringkat hantaran ciapan dan akaun, kami akan memadamkan sebarang promosi percuma platform media sosial pihak ketiga yang dilarang, seperti capaian ke luar (menggunakan URL) ke mana-mana platform menerusi Twitter, atau menyediakan nama pengguna anda tanpa URL," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, kata Twitter, pengguna akan disekat daripada memuat naik hantaran berkenaan, sebagai contoh 'Ikuti saya @namapengguna di Instagram'.
Tegas Twitter, pengguna yang melanggar peraturan itu buat kali pertama akan berdepan tindakan daripada perlu memadam satu atau lebih ciapan sehinggalah akaun disekat untuk tempoh tertentu.
"Sebarang kesalahan lanjut akan dikenakan penggantungan kekal," katanya.
Pengasas bersama Twitter, Jack Dorsey mempersoalkan dasar terbaru itu menerusi ciapan satu perkataannya: "Why? (Kenapa)".
Langkah terbaru itu adalah susulan beberapa langkah kontroversi dilaksanakan jutawan Musk dalam tempoh singkat sejak membeli Twitter pada hujung Oktober lalu, antaranya termasuklah memberhentikan kakitangan dan mengembalikan semula beberapa akaun pelampau kanan.
Sejak beberapa hari lalu, Musk menggantung akaun beberapa waratwan, terbaharu adalah wartawan Washington Post, Taylor Lorenz, selepas merungut mengenai beberapa pihak yang mendedahkan perincian pergerakan jet peribadinya yang berisiko menbahayakan keluarganya.
Antara akaun yang disekat tanpa sebarang notis atau penjelasan ialah Matt Binder dari Mashable, Donie O'Sullivan dari CNN, Ryan Mac dari The New York Times, Drew Harwell dari The Washington Post, Micah Lee dari The Intercept, Steve Herman dari Voice of America dan wartawan bebas Aaron Rupar, Keith Olbermann dan Tony Webster.
Keputusan itu dibuat sehari selepas platform itu menyekat akaun popular, @ElonJet yang dikhususkan menjejaki pesawat peribadi Musk.
Tidak lama selepas mengambil alih platform media sosial itu, Musk mengumumkan Twitter akan mengenakan bayaran AS$8 (RM35) sebulan untuk mengesahkan identiti pemegang akaun, namun terpaksa menggantung rancangan 'Twitter Biru' itu selepas kewujudan sejumlah akaun palsu akibat langkah berkenaan. Ia kini sudah dilancarkan semula.
Pada 4 November lalu, Twitter memberhentikan separuh daripada 7,500 kakitangannya selepas Musk memaklumkan syarikat itu kerugian AS$4 juta (RM17.7 juta sehari).
Musk turut mengembalikan semula akaun bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini disekat, selain memaklumkan tidak lagi akan terbabit dalam usaha memerangi maklumat tidak tepat berkaitan COVID-19. - AFP