LIMA: Jumlah kematian susulan tunjuk perasaan di seluruh Peru akibat penggulingan bekas Presiden Pedro Castillo meningkat kepada 23 orang, menurut pihak berkuasa.
Peru mengisytiharkan darurat di seluruh negara selama 30 hari berikutan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di beberapa kawasan, lapor Agensi Anadolu.
Sekurang-kurangnya 569 orang termasuk 216 anggota keselamatan cedera di wilayah Lima, Apurimac, Ancash, Ayacucho, Cajamarca, Cusco, Moquegua dan Puno, menurut Pejabat Ombudsman Peru, pada Sabtu lalu.
Protes paling ganas dilaporkan tercetus di Ayacucho dan Apurimac, yang mengorbankan 13 orang daripada keseluruhan jumlah kematian.
Koordinator Kebangsaan Peru untuk Hak Asasi Manusia, iaitu gabungan kumpulan masyarakat sivil menggesa kekerasan terhadap penunjuk perasaan dihentikan serta-merta dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta menghukum mereka yang bertanggungjawab.
Penunjuk perasaan turut mendesak Castillo dibebaskan segera serta meminta Presiden baharu Peru, Dina Boluarte meletak jawatan, pembubaran Parlimen dan pilihan raya baharu.
Kongres Peru menolak langkah untuk membawa pilihan raya ke hadapan menyebabkan protes berlaku hingga memberi kesan beribu-ribu pelancong terkandas di bandar pintu masuk ke Machu Picchu.
Kongres mengundi menentang Rang Undang-Undang (RUU) untuk membawa ke hadapan pilihan raya lebih daripada dua tahun daripada sepatutnya pada 2026 ke Disember 2023.
Susulan itu, demonstrasi dan angka kematian terus meningkat selepas penunjuk perasaan bertindak ganas termasuk cuba menyerbu lapangan terbang di bandar selatan Ayacucho yang dikawal oleh tentera. - AGENSI