WASHINGTON: Pentagon sedang memuktamadkan rancangan untuk menghantar bateri peluru berpandu Patriot yang boleh menembak jatuh peluru berpandu Russia disasarkan ke Ukraine, lapor media Amerika Syarikat (AS) semalam.
Memandangkan Russia meningkatkan serangan peluru berpandu ke atas infrastruktur utama Ukraine, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, mungkin mengumumkan penghantaran seawal minggu ini, kata pegawai AS kepada The New York Times dan CNN.
Bateri Patriot merangkumi radar yang mengesan dan menjejaki sasaran, komputer, alat jana kuasa, stesen kawalan dan sehingga lapan pelancar dengan setiap satu dilengkapi empat peluru berpandu yang sedia dilancarkan.
Pertahanan udara Ukraine memainkan peranan mustahak semasa pencerobohan Russia tetapi susulan peningkatan serangan Moscow ke atas infrastruktur tenaga selepas kekalahan di lapangan, mendorong Kyiv memaksa negara lain terutama AS, membekalkan sistem Patriot.
Tentera AS menggambarkan Patriot sebagai sistem yang dilengkapi teknologi seperti radar, stesen kawalan, peralatan penjanaan kuasa dan mempunyai sehingga lapan pelancar.
Ia disifatkan sistem pertahanan udara paling canggih kerana walaupun puluhan kakitangan ditugaskan untuk bateri, hanya tiga anggota diperlukan untuk mengendalikan sistem itu ketika pertempuran.
Batalion Patriot pertama tentera AS diaktifkan pada 1982, namun sistem itu tidak lagi digunakan dalam pertempuran sehingga 1991 sewaktu Operasi Desert Storm, di mana serangan udara dan darat antarabangsa dilancarkan terhadap tentera Iraq yang menyerang Kuwait.
Menurut kontraktor utama, Raytheon, untuk rekod Patriot memintas lebih 150 peluru berpandu balistik dalam pertempuran sejak 2015, menjalani lebih 3,000 ujian darat dan 1,400 penerbangan.
Apabila Russia memulakan serangan pada Februari lalu, sebahagian besar pertahanan udara Ukraine merangkumi pesawat dan sistem peluru berpandu era Soviet yang digunakan Kyiv.
Sejak itu, pertahanan udara negara itu diperkuat dengan ketara dengan dua sistem canggih apabila AS menyediakan NASAMS dan Jerman pula menawarkan IRIS-T.
Ia termasuk peralatan lama seperti sistem S-300, HAWK serta peluru berpandu Stinger. - AFP