LIMA: Lima lagi penunjuk perasaan maut di Peru pada tunjuk perasaan ganas semalam, susulan penyingkiran bekas presiden negara itu tidak menunjukkan tanda-tanda reda, walaupun penggantinya berusaha untuk meredakan kekacauan terbabit.
Tujuh orang termasuk tiga remaja, meninggal dunia dalam protes yang semakin memuncak sejak Pedro Castillo yang berhaluan kiri dituduh melakukan cubaan rampasan kuasa, didakwa dan ditangkap minggu lalu.
Presiden Peru yang baharu, Dina Boluarte, mengumumkan beliau akan berusaha untuk mengadakan pilihan raya dua tahun lebih awal dan mengisytiharkan darurat di kawasan berbahaya.
Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kerana penunjuk perasaan terus menuntut peletakan jawatannya, menghalang jalan raya di beberapa bandar di seluruh negara dengan kayu balak, batu dan tayar yang dibakar.
Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan memecahkan lampu landasan, membakar pondok keselamatan dan memaksa penutupan lapangan terbang di bandar kedua terbesar Peru, Arequipa selama beberapa jam semalam, sebelum polis menyuraikan mereka dengan gas pemedih mata.
Pertempuran itu menyebabkan seorang maut, manakala empat orang lagi maut ketika polis rusuhan membatalkan protes di wilayah asal tenggara Boluarte, Apurimac, di mana dua penunjuk perasaan lain maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan semasa cubaan menyerbu lapangan terbang di sana Ahad lalu.
"Setakat ini tujuh orang dilaporkan maut sejak Ahad," kata sumber dari pejabat pertahanan awam.
Semalam di Apurimac, penunjuk perasaan membakar pejabat pendakwa raya dan balai polis.
Sementara di Arequipa, penunjuk perasaan juga menduduki salah satu kilang terbesar di negara ini, yang dimiliki oleh syarikat tenusu Gloria.
Dalam pada itu, Jurucakap Pejabat Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Marta Hurtado, memberi amaran 'keadaan mungkin bertambah buruk' dan menggesa 'semua yang terbabit untuk menahan diri'.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa untuk 'membenarkan orang ramai menggunakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan kebebasan berpendapat dan bersuara'.
Castillo ditahan sejak Rabu lalu dan menghadapi tuduhan pemberontakan dan konspirasi selepas beliau membubarkan Kongres dan berikrar untuk memerintah melalui dekri.
Bekas presiden itu bertemu dengan peguamnya di Lima menjelang perbicaraan hari ini yang mana beliau akan mendapatkan pembebasan segera.
"Pendirian presiden ialah dia seorang tahanan politik," kata peguam, Ronald Atencio.
Kira-kira 100 penyokong berkhemah di hadapan penjara tempat Castillo ditahan, menuntut beliau dibebaskan dan kembali ke pejabat.
Sementara itu, kerajaan berhaluan kiri Mexico, Argentina, Colombia dan Bolivia mengeluarkan kenyataan bersama menyokong Castillo, mengatakan beliau 'mangsa gangguan antidemokrasi' sejak pemilihannya.
Pemerintahan 17 bulan Castillo dibayangi oleh enam siasatan terhadapnya dan keluarganya, protes besar-besaran menuntut penyingkirannya dan perebutan kuasa dengan Kongres yang dikawal pembangkang.
Boluarte, bekas pendakwa raya yang pernah berkhidmat sebagai naib presiden Castillo, mengangkat sumpah dengan segera untuk menggantikannya berikutan pemecatan dan penahanannya.
Ahad lalu, beliau cuba menenangkan rakyat dalam ucapan di televisyen dengan mengatakan akan berusaha 'mencapai persetujuan' dengan Kongres untuk mempercepatkan pilihan raya dari Julai 2026 ke April 2024. - AFP