LIMA: Presiden baharu Peru, Dina Boluarte, mengumumkan beliau akan mengusulkan supaya pilihan raya diadakan dua tahun lebih awal daripada penggal yang sepatutnya berakhir pada 2026, selain mengisytiharkan darurat di kawasan tertentu selepas tunjuk perasaan tercetus sehingga mengakibatkan dua maut susulan penahanan penyandang terdahulu jawatan itu.
Penunjuk perasaan di seluruh negara, khususnya di bandar Andes dan utara, telah menuntut pilihan raya umum (PRU) diadakan serta pembebasan bekas Presiden, Pedro Castillo yang disingkirkan pada Rabu lalu kerana cuba membubarkan Kongres dan memerintah secara dekri.
"Setelah mentafsir kehendak rakyat, saya memutuskan untuk mengambil inisiatif ke arah mencapai persetujuan dengan Kongres republik ini supaya PRU diadakan lebih awal, iaitu pada April 2024," kata Boluarte dalam ucapan disiarkan televisyen.
Sambil memaklumkan rang undang-undang bagi mengawalkan tarikh PRU daripada 2026 itu akan dikemukakan dalam masa beberapa hari lagi, beliau menegaskan bahawa dengan sentimen patriotik sama, darurat turut diisytiharkan di beberapa kawasan mengalami konflik sosial yang tinggi bertujuan mengembalikan keamanan.
Boluarte, bekas pendakwa raya yang berkhidmat sebagai Naib Presiden bawah Castillo sebelum ini, segera mengangkat sumpah jawatan menggantikan Castillo selepas pemimpin itu disingkirkan dan ditangkap pada minggu lalu.
Kelmarin, Boluarte memperkenalkan Kabinet baharu pimpinannya yang dibarisi profil teknokrat dan bebas, termasuk lapan wanita, selain menamakan bekas pendakwa raya, Pedro Angulo sebagai Perdana Menteri.
Semalam, penunjuk perasaan mengadakan bantahan di bandar serata negara, termasuk Cajamarca, Arequipa, Huancayo, Cusco dan Puno, bagi menuntut pembebasan Castillo.
Menurut pihak berkuasa, pertempuran baharu tercetus antara penunjuk perasaan dengan polis di Andahuaylas di wilayah Apurimac menyebabkan dua maut dan sekurang-kurang lima lagi cedera, termasuk seorang anggota polis, ketika peserta demonstrasi cuba menyerbu lapangan terbang di bandar itu.
"Saya menggesa orang ramai untuk kekal bertenang," kata Menteri Dalam Negeri, Cesar Cervantes ketika mengumumkan kes kematian kedua sejurus polis mengesahkan korban pertama membabitkan seorang remaja.
Dalam ucapannya, Boluarte turut menzahirkan perasaan kesal atas insiden kematian penunjuk perasaan terbabit.
Polis antirusuhan dikerahkan ke lapangan terbang itu bagi menghalang ribuan penunjuk perasaan di Andahuaylas. Pertempuran di Andahuaylas, kelmarin, menyaksikan 16 orang awam dan empat anggota polis mengalami kecederaan. - AFP