ARKANSAS: Seorang remaja 18 tahun di Arkansas, Amerika Syarikat, dipilih menjadi Datuk Bandar kulit hitam termuda di negara itu.
Jaylen Smith yang baru menamatkan pendidikan peringkat sekolah menengah pada Mei diundi untuk memimpin Earle, sebuah pekan kecil yang jaraknya 48 kilometer di barat Memphis, Tennessee, Selasa lalu.
Bercakap kepada Washington Post, Smith berkata ibunya tidak berhenti menangis apabila beliau dipilih untuk mewakili Earle.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong kerana meningkatkan usaha untuk menarik orang ramai ke pilihan raya. Saya benar-benar berterima kasih kepada anda semua," katanya.
Smith berazam menambah baik pasukan polis, membaiki sistem perparitan bandar dan menangani isu rumah terbiar selain turut merancang membawa sebuah kedai runcit besar, selepas satu-satunya kedai seumpama itu di bandar berkenaan ditutup tahun lalu.
Ketika di sekolah menengah, beliau berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pelajar selain berperanan memimpin beberapa kelab sekolah.
"Anda perlu bermula di suatu tempat untuk melakukannya. Saya tidak mahu menunggu usia 30 atau 40 dan menjadi Datuk Bandar sedangkan saya boleh menjadi Datuk Bandar sekarang," katanya lagi.
Ketika kempennya, Smith menerima bimbingan dan nasihat daripada Datuk Bandar Little Rock, Arkansas, Frank Scott Jr.
Scott Jr, yang juga Presiden Persatuan Datuk Bandar Afrika-Amerika, berbangga dengan kemenangan Smith.
"Saya teruja bagi pihak Smith dan seluruh komuniti di Earle kerana dia menjadi Datuk Bandar Afrika-Amerika termuda yang dipilih di negara ini.
"Saya berbangga dengan kesediaannya untuk memasuki perkhidmatan awam pada usia yang begitu muda dan matlamat aspirasinya untuk bandar itu," katanya kepada CNN.
Smith merancang melanjutkan pengajian di Arkansas State University Mid-South untuk menjadi seorang pendakwa raya, dan pada masa yang sama, memberi tumpuan sebagai datuk bandar. - AGENSI