Sabtu, 10 Disember 2022 | 1:07pm
Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Jill Biden (kanan) bersama Ketua Penasihat Presiden merangkap Pengarah Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Anthony Fauci (kiri), menghadiri kempen kesedaran vaksinasi COVID-19. - Foto EPA
Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Jill Biden (kanan) bersama Ketua Penasihat Presiden merangkap Pengarah Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Anthony Fauci (kiri), menghadiri kempen kesedaran vaksinasi COVID-19. - Foto EPA

Subvarian baharu COVID-19 sumbang hampir 70 peratus kes di AS

LOS ANGELES: Subvarian baharu Omicron iaitu BQ.1 dan BQ.1.1 menyumbang hampir 70 peratus kes baharu COVID-19 di Amerika Syarikat (AS).

Menurut anggaran dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS semalam, sepanjang minggu yang berakhir hari ini, kes membabitkan BQ.1.1 adalah sekitar 36.8 peratus manakala BQ.1 sebanyak 31.1 peratus.

Kedua-dua varian itu adalah dari sub- keturunan varian BA.5 Omicron, yang mula menular secara pantas sejak Oktober lalu.

Pada awal Oktober, setiap satu daripada dua varian baharu ini menyumbang kira-kira satu peratus jangkitan baharu di AS.

Sejak pertengahan bulan lalu, kedua-dua varian ini menggantikan BA.5 yang pernah menjadi strain dominan di AS.

Sementara itu, lebih daripada 25,000 orang di AS dimasukkan ke hospital kerana selesema pada minggu yang berakhir pada 3 Disember lalu, menurut data yang dikeluarkan semalam oleh CDC AS.

Menurut CDC, musim selesema kekal tinggi di seluruh negara.

Katanya, sekurang-kurangnya 13 juta orang menghidap selesema dengan 120,000 kes kemasukan ke hospital, selain 7,300 kematian setakat ini di AS.

Tujuh kematian berkaitan influenza membabitkan kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh seminggu, menjadikan sejumlah 21 kematian berkaitan selesema dilaporkan setakat ini. - AGENSI

Berita Harian X