Sabtu, 10 Disember 2022 | 9:11am
Jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, John Kirby, pada sidang media mendedahkan kerjasama ketenteraan Russia-Iran. - Foto AP
Jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, John Kirby, pada sidang media mendedahkan kerjasama ketenteraan Russia-Iran. - Foto AP

AS beri amaran kerjasama ketenteraan Iran-Russia 'membahayakan'

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam melahirkan kebimbangan berhubung 'kerjasama pertahanan berskala penuh' di antara Moscow dan Tehran, malah menyifatkan ia sebagai 'memudaratkan' Ukraine, negara jiran Iran dan dunia.

Iran dituduh oleh kuasa Barat membekalkan dron kepada tentera Russia di Ukraine, namun negara itu menyangkal dakwaan berkenaan.

Moscow, yang mencetuskan konflik berdarah di negara itu turut bertindak menyerang infrastruktur tenaga Ukraine dalam usaha memperluaskan penguasaannya.

Washington sebelum ini mengecam kerjasama keselamatan Iran-Russia, tetapi semalam AS menggambarkan hubungan yang meluas membabitkan peralatan ketenteraan seperti helikopter, jet pejuang dan dron, bakal membawa kepada sekatan baharu terhadap kedua-dua negara itu.

"Russia sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Iran dalam bidang seperti pembangunan senjata dan latihan," kata jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, John Kirby, kepada pemberita.

Jelasnya, Moscow 'menawarkan Iran tahap sokongan ketenteraan dan teknikal yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang mengubah hubungan pertahanan kedua-dua negara itu.

"Kami turut melihat laporan menunjukkan Moscow dan Tehran sedang mempertimbangkan pengeluaran bersama dron di Russia. Kami menggesa Iran untuk tidak meneruskan langkah berkenaan," katanya.

Duta Besar Russia untuk PBB, Vassily Nebenzia, memberitahu ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), 'kompleks perindustrian tentera di Russia boleh berfungsi dengan baik dan tidak memerlukan bantuan sesiapa'.

Menurutnya, dakwaan berhubung dron itu, 'sudah disangkal' beberapa kali sebelum ini.

Terdahulu, Kirby mengumumkan AS akan melaksanakan sekatan terhadap tiga entiti aktif yang berpangkalan di Russia dalam 'pemerolehan dan penggunaan dron Iran.

Sekatan itu menyasarkan Angkatan Aeroangkasa Rusia, Pusat Penerbangan Tanpa Pemandu Negara ke-924, dan Komando Penerbangan Pengangkutan Tentera.

"AS akan terus menggunakan setiap alat yang kami ada untuk mengganggu pemindahan (teknologi) ini dan memastikan mereka yang terbabit menanggung akibatnya," kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, dalam satu kenyataan mengenai sekatan itu.

Bulan lalu, Tehran mengaku menghantar dron ke Russia tetapi mendakwa ia berlaku sebelum pencerobohan Ukraine.

Kirby berkata AS juga bimbang Russia 'berhasrat membekalkan Iran dengan komponen tentera canggih' termasuk helikopter dan sistem pertahanan udara.

Malah, juruterbang tentera Iran difahamkan sedang belajar menerbangkan pesawat perang Sukhoi Su-35 di Russia dan Tehran mungkin menerima pesawat berkenaan tahun depan, sekali gus memperkukuhkan pertahanan udaranya berbanding negara jiran.

AS juga percaya Iran sedang mempertimbangkan jualan 'ratusan peluru berpandu balistik' kepada Russia. - AFP

Berita Harian X