Rabu, 7 Disember 2022 | 12:23pm
Gambar fail Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memeriksa tapak pertempuran dengan tentera Russia di Bucha, dekat Kyiv, Ukraine. - Foto AP
Gambar fail Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memeriksa tapak pertempuran dengan tentera Russia di Bucha, dekat Kyiv, Ukraine. - Foto AP

AS, Russia tuduh-menuduh tidak berminat rundingan damai Ukraine

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Russia saling menuduh antara satu sama lain mendakwa tidak berminat bagi rundingan damai Ukraine kerana 'perang lebih menguntungkan'.

Gesaan rundingan damai semakin meningkat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengenai gencatan senjata dan diplomasi untuk menamatkan perang yang dimulakan oleh pencerobohan Moscow sembilan bulan lalu.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu kemanusiaan di Ukraine, Duta Besar Russia untuk PBB, Vassily Nebenzia, berkata Moscow menyatakan 'minat daripada majoriti besar' negara anggota PBB dalam penyelesaian diplomatik.

"Kami bertindak balas dengan sangat serius terhadap perkara ini. Kami mengesahkan kesediaan kami untuk menjalankan rundingan," katanya.

Katanya, matlamat mereka adalah membasmi punca yang memaksa operasi ketenteraan khas (SMO).

Pada mulanya, Moscow mengatakan misinya adalah 'melucutkan senjata' supaya ia tidak boleh menjadi ancaman kepada Russia, namun menafikan pihaknya menghapuskan pemimpin yang disifatkannya sebagai nasionalis.

Negara-negara Barat percaya matlamat awal sebenar Russia adalah untuk mengalahkan tentera Ukraine dan untuk menggulingkan kerajaan pro Barat.

"Ukraine memerlukan kedamaian dan perkara sama dimahukan Ukraine, lebih daripada negara lain. Ia adalah wilayah kami yang diceroboh," kata Duta Besar PBB untuk Ukraine, Sergiy Kyslytsya.

Nebenzia mendakwa negara Barat tidak berminat dengan penempatan diplomatik di Ukraine kerana mereka sebaliknya memperluaskan penghantaran senjata ke Kyiv.

"Apa yang anda lihat sekarang ialah perang berterusan Barat menentang Russia. Ini adalah sesuatu yang tidak memberi kami pilihan lain selain meneruskan matlamat SMO kami," katanya.

Baru-baru ini, Russia menyerang infrastruktur tenaga Ukraine dan Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths, memberitahu UNSC ia menyebabkan berjuta-juta orang tanpa akses kepada elektrik dan air, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang disebabkan oleh pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu.

"Serangan semakin meningkat oleh Presiden Vladimir Putin ke atas infrastruktur Ukraine, bukti beliau tidak mempunyai minat yang tulen dalam rundingan atau diplomasi yang bermakna," kata Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Lisa Carty, kepada 15 anggota UNSC.

Russia meminta UNSC mengadakan pertemuan semula Jumaat ini untuk membincangkan senjata dari konflik Ukraine 'jatuh ke tangan penyamun dan pengganas' di tempat lain di Eropah, Timur Tengah dan Afrika. - REUTERS

Berita Harian X