Ahad, 4 Disember 2022 | 12:52pm
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (tengah) dalam pertemuan dengan Pemimpin Republikan, Kevin McCarthy; Pemimpin Majoriti Senat, Chuck Schumer; Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan Pemimpin Republikan Senat, Mitch McConnell. - Foto REUTERS
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (tengah) dalam pertemuan dengan Pemimpin Republikan, Kevin McCarthy; Pemimpin Majoriti Senat, Chuck Schumer; Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan Pemimpin Republikan Senat, Mitch McConnell. - Foto REUTERS

Biden diminta pertimbang tamatkan mandat vaksin COVID-19 bagi tentera AS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, sedang pertimbangkan usul pemimpin Republikan, Kevin McCarthy, untuk memansuhkan mandat vaksin COVID-19 tentera AS, lapor Rumah Putih.

McCarthy, yang melobi untuk jawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, memberitahu Fox News bahawa beliau sudah mendapat sokongan untuk mengakhiri mandat pada satu perjumpaan dengan Biden; Pemimpin Majoriti Senat, Chuck Schumer; Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan Pemimpin Republikan Senat, Mitch McConnell.

McCarthy berkata mandat itu akan dimansuhkan daripada menjadi sebahagian daripada Akta Kelulusan Pertahanan Kebangsaan (NDAA) membabitkan peruntukan AS$817 bilion (RM3.6 trilion) yang mesti diluluskan sebagai penetapan dasar untuk Pentagon dan dijangka diluluskan Senat serta Dewan Perwakilan bulan ini.

Bagaimanapun, jurucakap Rumah Putih, Olivia Dalton, menegaskan Biden hanya bersetuju untuk mempertimbangkan usul berkenaan.

"Pemimpin McCarthy membangkitkan isu memansuhkan mandat vaksin coronavirus bagi tentera AS ini dengan presiden dan presiden memberitahunya bahawa ia akan dipertimbangkan beliau.

"Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan (Lloyd Austin) mengesyorkan supaya mandat vaksin ini dikekalkan dan disokong oleh president. Perbincangan mengenai NDAA masih berterusan," katanya.

Mandat vaksin itu, yang dikuatkuasa pada Ogos 2021, mewajibkan semua anggota tentera AS mesti disuntik vaksin COVID-19.

Menurut data Jabatan Pertahanan, 3,717 anggota Marin; 1,816 anggota tentera dan 2,064 kelasi ditamatkan perkhidmatan kerana enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, tahun ini Mahkamah Persekutuan melarang perkhidmatan tentera AS daripada menghukum anggotanya yang enggan mendapatkan suntikan vaksin atas alasan keagamaan.

Sementara itu, Austin berkata beliau mahukan mandat vaksin dikekalkan bagi melindungi pasukan tentera, meskipun pemimpin Republikan memberi tekanan supaya ia dimansuhkan, namun enggan mengulas mengenainya.

"Kita kehilangan jutaan nyawa akibat virus ini, lebih sejuta maut di AS saja termasuk ribuan nyawa di Jabatan Pertahanan. Jadi, mandat ini penting bagi menyelamatkan nyawa anggota tentera," katanya.

Tahun lalu, Austin mengarahkan semua anggota tentera mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 atau berdepan pemecatan, menyebabkan ribuan anggota tentera ditamatkan perkhidmatan kerana enggan mendapatkan suntikan. - AGENSI

Berita Harian X