Khamis, 1 Disember 2022 | 10:00am
Ketua strategi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Ceyla Pazarbasioglu. - Foto REUTERS
Ketua strategi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Ceyla Pazarbasioglu. - Foto REUTERS

IMF desak China segerakan penstrukturan hutang negara miskin

WASHINGTON: Ketua strategi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Ceyla Pazarbasioglu, dijadualkan ke China minggu depan bagi menegaskan desakan IMF kepada negara itu untuk mempercepatkan penstrukturan semula hutang luar.

Badan dunia itu berkata kebanyakan syarat pinjaman China kepada negara miskin, terutama ketika pandemik COVID-19, perlu dilakukan pelarasan semula supaya lebih adil.

Justeru, Pazarbasioglu menekankan kemajuan lebih cepat dalam penstrukturan semula hutang bagi negara yang memerlukan, dengan mengambil kira kadar inflasi dan keadaan ekonomi global sekarang.

Tambah beliau, IMF mengalu-alukan penyertaan China dalam pakej rawatan hutang untuk Chad, negara pertama yang menyelesaikan proses di bawah Rangka Kerja Bersama yang ditubuhkan pada akhir 2020 oleh Kumpulan 20 (G20) ekonomi utama.

Beliau berkata, semua mata tertumpu pada Zambia sekarang, di mana ia menyifatkan penstrukturan semula hutang Zambia yang lebih besar lagi rumit sebagai kes ujian sebenar untuk Rangka Kerja Bersama.

"Ia sangat kritikal dan kita perlu bergerak ke hadapan untuk membantunya, sudah tentu keputusan di China minggu depan adalah sangat penting, pada tahap tertinggi.

"Malah, Presiden China, Xi Jinping, adalah satu-satunya pemimpin yang membangkitkan isu itu dalam kenyataannya pada sidang kemuncak G20 di Indonesia," katanya.

Ketika ini, IMF, Bank Dunia dan Kumpulan Tujuh (G7) ekonomi maju mengkritik China yang kini menjadi pemiutang terbesar di dunia kerana menangguhkan usaha untuk menyusun semula hutang negara peminjamnya.

Menurut IMF, kira-kira 25 peratus daripada ekonomi pasaran sedang pesat membangun dan 60 peratus negara berpendapatan rendah berada atau hampir mengalami masalah hutang.

Justeru, IMF menggesa negara berkenaan untuk mendapatkan bantuan awal sekarang berbanding menunggu sehingga mereka berada dalam krisis yang lebih teruk.

Pazarbasioglu berkata, China menganjurkan mesyuarat 'Premiere Plus', termasuk bersama institusi kewangan antarabangsa dan pegawai dari Bank Pembangunan China dan Bank Eksport-Import China.

Pertemuan sebegini pernah diadakan secara kerap, tetapi dibatalkan semasa kemuncak wabak COVID-19.

"Ia bergerak sangat perlahan, tetapi ia bergerak," kata Pazarbasioglu, sambil menyatakan bahawa penyertaan syarikat perlombongan Glencore Plc dalam rawatan Chad juga adalah petanda sangat baik walaupun peserta sektor swasta paling sukar mengambil bahagian.

Beliau berkata, Kelab Paris, yang merangkumi pemiutang dua hala, mengambil masa bertahun-tahun untuk menyelesaikan proses pelepasan hutang mereka dan China sedang belajar walaupun isu hutang yang dihadapi negara peminjam sekarang makin meruncing.

"Masalah yang ada ialah kita tidak mempunyai masa sekarang kerana negara-negara ini sangat rapuh dan berhadapan dengan kelemahan hutang, apa yang kita perlukan ialah kepantasan," katanya.

Tambah Pazarbasioglu berkata, IMF akan terus mendesak perubahan pada Rangka Kerja Bersama, termasuk pembekuan pembayaran hutang apabila negara memohon untuk mendapatkan rawatan hutang serta prosedur dan garis masa yang lebih jelas untuk tindakan selain memastikan layanan yang setanding untuk pemiutang swasta.

Satu isu utama ialah pemiutang besar perlu menyusun mekanisme institusi dalaman untuk menangani hutang yang tidak berdaya maju serta sedia berkorban. - REUTERS

Berita Harian X